Telur biasa ditukar label omega

Telur biasa ditukar label omega

HELAH mengisytihar telur biasa sebagai telur omega didakwa menyebabkan berlaku lambakan telur jenis itu dan pada masa sama telur gred A, B serta C berkurangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ladang-ladang telur di seluruh negara didakwa menggunakan syarikat subsidiari untuk menipu label telur biasa yang ditukar dan diisytihar sebagai telur omega bagi mengelak kawalan harga dan mengaut keuntungan berlipat ganda.

Situasi itu sekali gus menyebabkan berlaku lambakan telur jenis tersebut di pasaran dan pada masa sama telur biasa biasa gred A, B dan C berkurangan.

Perkara itu didedahkan oleh sumber dalaman industri yang berkata, kegiatan berkenaan sedang giat dilakukan ladang telur berskala kecil dan sederhana yang kebanyakannya menghasilkan kurang daripada 500,000 biji telur sehari.

Katanya, kegiatan tersebut dibuat bertujuan mengelirukan pihak berkuasa yang membuat tinjauan dan pemantauan di ladang-ladang telur apabila mendapati telur di ladang adalah telur biasa tetapi apabila sampai ke pasaran ditukar label kepada telur omega.

Sumber berkata, ladang-ladang pengeluar melakukan pakatan sebegitu untuk lari daripada kawalan harga telur yang ditetapkan kerajaan sekali gus mengaut keuntungan di atas kesempitan pengguna yang terpaksa berdepan harga sumber protein itu yang terlalu tinggi.

“Ladang-ladang pengeluar telur sekarang berpakat mengoptimumkan pengeluaran telur omega, cuma bezanya banyak atau sebaliknya.

“Ada satu cara macam mana ladang-ladang telur ini berpakat untuk keluarkan telur omega dan lari daripada kawalan harga. Mereka wujudkan anak syarikat dan subsidiari ini digunakan untuk melancarkan jualan telur omega. Subsidiari ini menjadi pemborong mereka.

“Mereka jual telur biasa gred A, B, C dan D kepada subsidiari atau pemborong ini, kemudian pemborong membungkus semula telur gred biasa itu khususnya gred A menjadi telur omega. Ini dilakukan untuk mengelirukan pihak berkuasa, kalau mereka turun ke ladang memanglah nampak telur biasa,” kata sumber.

Mingguan Malaysia pada Disember tahun lalu melaporkan, isu penipuan label telur premium memburukkan lagi krisis kekurangan bekalan sumber protein itu dalam negara.

Sumber dalaman industri memberitahu, tiada tindakan diambil mana-mana pihak bagi menangani komplot yang menipu pengguna.

Katanya, isu pelabelan telur itu sudah berlaku sejak puluhan tahun apabila ada ladang telur, pemborong dan peruncit yang mendapati tiada pihak memantau label dan penggredan telur, maka mereka mula meletakkan label premium pada telur keluaran masing-masing.

Kata sumber, komplot sewenang-wenangnya meletakkan label premium dan kaya omega pada produk telurnya, sedangkan tiada langsung mana-mana agensi kerajaan yang mengesahkannya.

Mengulas lanjut, sumber berkata, kegiatan tidak bermoral itu berleluasa kerana kegagalan kerajaan mewujudkan sebarang mekanisme kawalan telur omega, apabila telur jenis itu langsung tidak diakreditasi dan dipantau sama ada dari segi kuantiti atau kualiti.

“Masalah dalam pengeluaran telur omega ini, ia tak membantu mengawal harga telur di pasaran melalui lambakan telur omega. Ia tak diakreditasi oleh mana-mana badan atau agensi. Sesuka hati sahaja pengeluar meletak label omega dan kaya nutrisi tanpa dipantau.

“Cara selesaikan, kerajaan perlu pergi kepada akar umbi permasalahan iaitu penghasilan telur omega yang tidak dipantau dan tidak diakreditasi. Maka, untuk menanganinya haruslah diwujudkan satu badan atau entiti khas sebagai pemantau dan pemberi akreditasi kepada telur-telur yang didakwa omega atau dikenali designer egg ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×