PETALING JAYA: Jenayah seksual termasuk melibatkan ahli keluarga dengan tujuan untuk meraih pendapatan yang berlaku dalam masyarakat hari ini disebabkan oleh tekanan hidup yang dialami oleh pelaku sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, keterbukaan media dan mudah diakses, mendorong mereka yang berhadapan tekanan hidup selain masalah mental melakukan perbuatan tidak bermoral itu.
“Mereka ini mempunyai masalah mental yang tidak diketahui dan juga gagal menguruskan tekanan hidup yang meliputi ekonomi keluarga, interaksi sosial, pekerjaan, keadaan sekitar serta pengaruh media songsang seperti promosi seksual dan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas laporan media tentang kes seorang ibu yang dihadapkan ke mahkamah di Klang kerana melakukan amang seksual terhadap dua anaknya dan perlakuan sumbang itu turut dirakam.
Dr. Zainal Ariffin berkata, sehubungan itu program kesihatan mental pelbagai jabatan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu ditingkatkan dalam komuniti.
“Agensi kerajaan atau penguat kuasa perlu wujudkan saluran yang mudah diakses oleh mangsa mendapatkan bantuan.
“Masyarakat perlu sedar serta membantu mengesan dan melaporkan kes berkenaan kepada pihak sekolah, pusat jagaan manakala institusi pendidikan mesti pantau staf dan anak-anak jagaan mereka.
“Jangan cepat salahkan mangsa atau pelaku, mungkin mereka perlu bantuan awal,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, masalah kewangan yang dihadapi pelaku juga menjadi punca masalah seksual terus berlaku yang bukan sahaja melibatkan orang luar malah ahli keluarga sendiri.
“Mereka menjadikan penyebaran gambar atau video pornografi sebagai satu sumber untuk menjana wang bagi menampung kehidupan mereka.
“Ia juga mungkin berlaku bermula daripada pengaruh orang luar seperti pasangan kekasih meminta gambar atau video kemudiannya menyebabkan rangsangan berlaku,” katanya.
Selain itu Dr. Sharifa Ezat berkata, kerajaan perlu tegas dalam penguatkuasaan terhadap kes tersebut walaupun akan ada impak terhadap keluarga terlibat.
“Wujud sebilangan mangsa memilih untuk menyelesaikan masalah tersebut sesama keluarga sahaja kerana risau akan impak yang bakal berlaku.
“Latar belakang keluarga yang tidak menerapkan nilai adab, budaya dan agama juga menjadi punca masalah ini kekal berlaku di dalam masyarakat,” katanya.
Tambahnya, mangsa kebanyakannya adalah orang muda seperti pelajar yang tidak tahu kepada siapa sepatutnya mereka mengadu masalah itu dan tidak tahu berkenaan pendidikan kesihatan seksual.
“Kerajaan perlu segera bertindak menyekat aplikasi dan laman sesawang yang terus menjadi tempat penjualan atau penyebaran video seksual yang terus memberi impak negatif kepada masyarakat negara ini,” katanya. – UTUSAN