Tasik Kenyir diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan - Utusan Malaysia

Tasik Kenyir diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan

TASIK Kenyir diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan dengan nama Kenyir Geopark.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu melakar satu lagi sejarah baharu dalam industri pelancongan apabila Tasik Kenyir mendapat perakuan dan diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan dengan nama Kenyir Geopark.

Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan itu telah diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaaan yang berlangsung di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Abdul Wahid Abu Salim.  

“Menerusi mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan telah membentangkan hasil penilaian yang telah dijalankan pada 7 hingga 11 Mac lalu di sekitar di Daerah Hulu Terengganu.  

“Pihak jawatankuasa pelaksana memaklumkan bahawa permohonan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai salah satu Geopark bertaraf kebangsaan telah memenuhi kriteria untuk diperakukan sebagai Geopark Kebangsaan.

“Pengisytiharan itu merupakan pencapaian terbaik kerajaan negeri yang telah lama berhasrat menjadikan Kenyir sebagai tapak taman geo malah selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) di bawah teras strategik enam, Pendigitalan Terengganu dan Pemantapan Pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kawasan Geopark Kenyir berkeluasan 244,900 hektar merangkumi kawasan Tasik Kenyir seluas 26,000 hektar, 340 buah pulau dan 15 kawasan geo tapak. Ia termasuk penemuan fosil kesan tapak kaki dinasour, batu kapur Bukit Bewah dan menara Gunung Gagau. 

Selain itu, terdapat 11 tapak warisan budaya seperti Batu Bersurat, Makam Tok Gajah, Kampung Tradisi serta 10 lokasi biotapak antaranya Gua Bewah, Gua Taat, Sungai Lawit, Taman Orkid, Gunung Gagau dan Santuari Gajah.  

Ariffin berkata penemuan-penemuan penting ini telah menonjolkan lagi potensi Gua Bewah sebagai tapak geo arkeologi terkemuka di negara ini.

Katanya, penemuan kerangka Bewah Man yang dianggarkan berusia 16,000 tahun dan fosil marin, Shikamaia Sp. (kerang gergasi) yang dianggarkan berusia 250 juta tahun di sekitar dinding gua berkenaan juga menjadi tarikan pelancongan di kawasan itu. 

Tambah beliau, pengisytiharan tersebut sekaligus memberi dimensi baharu kepada Tasik Kenyir yang sememangnya menjadi tarikan utama pelancong ke daerah Hulu Terengganu.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya