'Tanpa tanah, Orang Asli tidak wujud'

‘Tanpa tanah, Orang Asli tidak wujud’

LEBIH 200 Orang Asli Johor daripada suku Jakun, Temuan dan Seletar berhimpun secara aman di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: “Bagi orang luar, tanah adalah harta tetapi bagi Orang Asli definisi tanah lebih daripada itu. Ia adalah warisan, nyawa, harga diri, keturunan, maruah serta seluruh kehidupan dan tanpa tanah Orang Asli tidak akan wujud.”

Demikian tegas Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor, Dolah Tekoi yang mengetuai lebih 200 masyarakat berkenaan mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum bantahan terhadap cadangan supaya tanah rizab Orang Asli dikategorikan sebagai Tanah Kesultanan di hadapan bangunan Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, di sini, semalam.

Setelah kira-kira 30 minit berhimpun, memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Sulit II kepada Menteri Besar Johor, Mohamad Iskandar Omar.

Dolah berkata, masyarakat Orang Asli Johor bimbang jika dikategorikan di bawah Tanah Kesultanan, tanah itu menjadi milik persendirian Sultan Johor sekali gus menjadikan mereka sebagai penumpang.

Katanya, perkara tersebut dinyatakan secara jelas bahawa Tanah Kesultanan adalah tanah milik keluarga diraja, bukan lagi tanah kerajaan dan Orang Asli tidak mahu kehilangan tempat mereka bergantung sejak sekian lama.

“Bantahan ini bukan bersifat peribadi sebaliknya hanya mempertahan hak kami yang dilindungi di bawah Akta Orang Asli (Akta 134) yang terpakai di peringkat Persekutuan. Jadi mengapa Johor perlu tukar,” soalnya sambil mendakwa 90 peratus daripada kira-kira 18,000 Orang Asli di negeri ini membantah cadangan itu.

Dolah berkata, memorandum tersebut mempunyai empat bahagian, iaitu penyataan bantahan, kertas cadangan perancangan tanah Orang Asli, penjelasan konsep Tanah Adat Orang Asli serta tandatangan masyarakat Orang Asli yang membantah.

“Jika benar dakwaan bahawa terdapat Orang Asli yang bekerjasama dengan pihak luar untuk mengeksploitasi tanah kami, hukumlah orang itu, kami akan sokong. Tetapi jangan hukum kami semua melalui cara ini.

“Selepas ini, kami juga akan serahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” tegasnya.
Pada 25 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim mencadangkan supaya tanah Orang Asli di negeri ini dikategorikan sebagai Tanah Kesultanan bertujuan memastikan tanah-tanah tersebut menjadi lebih terbela di bawah enakmen tersedia ada. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×