NARATHIWAT (Thailand): Polis Thailand mendedahkan syabu dan pil yaba adalah antara jenis dadah yang banyak diseludup masuk ke Malaysia menerusi pangkalan haram.
Komander Polis Wilayah Narathiwat, Mejer Jeneral Anuruth Imarb berkata, kedua-dua jenis dadah itu menjadi pilihan disebabkan permintaan tinggi dalam pasaran.
“Kesemua dadah itu berasal dari wilayah utara timur laut negara ini iaitu di kawasan ‘Segi Tiga Emas‘. Dadah-dadah ini kemudian dibawa ke Narathiwat untuk diseludup ke negara jiran menggunakan pelbagai cara.
“Kerajaan Thailand amat bimbang dengan situasi tersebut kerana Narathiwat merupakan wilayah dan lokasi yang mudah untuk pengedaran dadah khususnya ke Malaysia kerana bersempadan dengan negeri Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Wilayah Narathiwat di sini semalam.
Anuruth berkata, pihaknya sentiasa menyusun pelbagai strategi untuk menyekat dan menyelesaikan masalah dadah.
Katanya, usaha membanteras itu diterjemahkan apabil merampas 2,000 kilogram dadah di Sungai Golok menerusi dua serbuan pada 2 Julai dan 10 Ogos tahun lalu.
“Rampasan itu melibatkan nilai berjumlah RM20 juta. Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kebanyakan pengedar ini bermula sebagai penagih dadah. Kita juga mendapati suspek yang ditahan akan memberitahu bahawa ketua terbesar mereka berasal dari Songkhla,” ujarnya. – UTUSAN










