PETALING JAYA: Sebanyak 12 kawasan berada dalam suhu panas pada tahap satu dan di peringkat berjaga-jaga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, ia berdasarkan bacaan suhu maksimum negara yang dikemas kini petang kelmarin.
“Kawasan yang berada dalam tahap tersebut di semenanjung ialah Padang Terap (Kedah); Pasir Emas, Kuala Krai, Tanah Merah (Kelantan); Temerloh, Pekan, Rompin (Pahang; Kuala Selangor (Selangor) serta Segamat, Muar dan Kluang di Johor.
“Di Malaysia Timur pula menunjukkan kawasan di Kinabatangan, Sabah terlibat,” katanya.
Sehubungan itu, diramalkan suhu maksimum harian bagi kawasan tersebut boleh mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius dan dijangka berlaku dalam tiga hari berturut-turut.
Sementara itu, berdasarkan laporan yang disediakan Pusat Iklim Nasional MetMalaysia sebelum ini, sejak awal April lalu, Malaysia didominasi oleh pusat tekanan tinggi berskala besar.
Menurut MetMalaysia, kesan daripada itu mengurangkan perolakan dan pencapahan kelembapan dari kawasan tertentu.
“Akibatnya, cuaca kering dan kurang litupan awan berlaku, maka peningkatan daripada pancaran matahari sampai ke bumi meningkatkan lagi penyerapan haba serta kenaikan suhu,” katanya,
MetMalaysia memaklumkan, dalam bulan ini, keadaan cuaca negara dipengaruhi oleh Monsun Barat Daya.
Justeru, dalam tempoh tersebut, kejadian hujan lebat dan ribut petir dijangka berkurangan di kebanyakan negeri. – UTUSAN











