KUALA LUMPUR: Status tuntutan harta sepencarian melebihi RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya, akan dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah, hari ini.
Hakim Syarie Abdul Shukor Abd. Hamid menangguhkan perkembangan status itu semalam kerana Peguam Syarie Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Dr. Kalsom perlu menghadiri mesyuarat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Putrajaya.
Terdahulu, Nor Husniah Husin yang turut mewakili Dr. Kalsom (plaintif), 67, memaklumkan, pihaknya memohon penangguhan prosiding melalui sepucuk surat kepada mahkamah pada 18 April lalu.
Menurut Nor Husniah, Sulaiman selaku peguam utama kepada plaintif adalah pihak yang paling sesuai memaklumkan status perkembangan terhadap cadangan penyelesaian tuntutan harta berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan prosiding ditangguhkan sehingga 2.30 petang dan didengar secara tertutup seperti yang diarahkan sebelum ini.
Dalam prosiding tersebut, Peguam-Peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar dan Farhan Haziq Mohamed mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 89, selaku defendan kelima.
Sementara itu, Nur Hidayah ketika ditemui media di luar mahkamah memberitahu, pihaknya membantah penangguhan itu dan mahukan status perkembangan penyelesaian diumumkan semalam.
Ujar beliau, Dr. Kalsom bagaimanapun bertegas mahukan agar peguam utamanya hadir dan memaklumkan sendiri perkembangan tersebut.
Mahkamah sepatutnya menetapkan semalam bagi membolehkan pihak-pihak memaklumkan jika terhadap hasil perbincangan yang dipersetujui untuk direkodkan.
Pada 1 November 2022, Mahkamah Tinggi Syariah diberitahu, kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM2 bilion itu mungkin akan diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.
Dr. Kalsom failkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Mekah dan beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya sebagai defendan.
Pada 28 Ogos 2022, mahkamah benarkan permohonan Dr. Kalsom meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat (AS) dibuang dalam pernyataan tuntutan.
Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.
Pada 4 April 2015, Allahyarham Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke AS, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke ibu negara terhempas di kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang. – UTUSAN










