PASIR PUTEH: Sikap tidak bertanggungjawab pengunjung yang membuang sampah di merata-rata tempat menukar pemandangan indah Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini menjadi ‘cacat’.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, meskipun Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) menyediakan tong-tong sampah, pengunjung dilihat lebih selesa membuang sampah di merata-rata tempat termasuk melonggokannya di kawasan pantai.
Seorang peniaga, Ibrahim Abdullah, 44, berkata, orang ramai yang berkunjung ke pantai itu sepatutnya memanfaatkan kemudahan tong sampah yang disediakan.
“Tindakan memanfaatkan kemudahan ini bukan sahaja menjadikan kawasan ini bersih malah memudahkan tugas pekerja pembersihan memungut sampah,” katanya semalam.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Fadilah Sidek, 30, berkata, fenomena air pasang besar yang mengakibatkan pokok-pokok rhu tumbang turut mencacatkan keindahan pantai.
Katanya, memburukkan lagi keadaan kayu-kayu tersebut dibiarkan berselerakan tanpa dibersihkan oleh pihak bertanggungjawab.
“Saya berharap pihak berwajib dapat mengambil serius perkara ini. Kawasan ini cantik, namun dicacatkan dengan kegagalan membuang sisa-sisa pokok rhu yang sudah tumbang,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Operasi Tok Aman Bali Beach Resort (TABBR), Wan Karimah Wan Mohamed Noor berkata, sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab menyebabkan persekitaran kawasan pelancongan itu berubah seolah-olah menjadi lokasi ‘pelupusan sampah’.
“Kami terpaksa mengadakan gotong-royong khas melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan untuk membersihkan persekitaran pantai terutama pada musim cuti perayaan serta cuti umum.
“Kerja pembersihan di persekitaran yang terdekat dengan resort dibersihkan petugas setiap hari manakala gotong-royong di sepanjang laluan masuk diadakan paling kurang dua kali sebulan,” katanya. – UTUSAN











