Seleweng RM2.3 bilion: SPRM akan panggil seorang lagi taikun

Seleweng RM2.3 bilion: SPRM akan panggil seorang lagi taikun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua tokoh ter­kemuka negara termasuk seorang bekas menteri kanan te­lah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu berhubung penyelewengan dana negara ber­nilai lebih RM2.3 bilion.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, selain dua individu berkenaan, seorang lagi taikun perniagaan juga akan dipanggil oleh SPRM Isnin ini bagi membantu siasatan itu.

Sumber berkata, SPRM kini berada dalam fasa melakukan analisis kewangan terhadap pemilikan aset-aset berharga yang telah dikenal pasti oleh SPRM yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan bekas menteri kanan bergelar Tan Sri serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada di dalam dan di luar negara.

“SPRM telah panggil kedua-dua tokoh berkenaan dan seorang taikun perniagaan juga akan dipanggil Isnin ini,” kata sumber itu ringkas.

Sumber berkata, keterangan ini dilakukan selepas beberapa kertas siasatan telah dibuka SPRM berhubung penyelewengan dana negara itu.

Katanya, siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

“Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

“Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” kata sumber itu.

Justeru sumber berkata, kertas siasatan itu dibuka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kata sumber, penyiasatan juga bertumpu kepada transaksi-transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut.

“Siasatan itu juga meliputi pemilikan aset-aset berharga yang telah dikenal pasti oleh SPRM yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada di dalam dan di luar negara.

“Sepanjang tempoh siasatan sebanyak 14 keterangan saksi telah diambil berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Kata Azam, siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×