KUALA SELANGOR: Selangor meneruskan penerokaan terhadap pemindahan teknologi dan pengetahuan bernilai sehingga RM3 bilion selepas lawatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Amirudin Shari berkata, keupayaan Selangor sebelum ini yang membuka Pusat Kecemerlangan Apple di Shah Alam oleh Selangor Technical Development Corporation (STDC) membolehkan pemindahan pengetahuan dan teknologi diteruskan melibatkan syarikat berkaitan teknologi dan kejuruteraan, Dassault Systemes.
“Jadi, kalau kita tengok dalam sektor pembuatan kereta, Proton di Shah Alam, Perodua di Rawang, Toyota di Bukit Raja dan banyak yang lain di bina dalam negara jadi saya percaya nilainya itu akan membantu jumlahnya lebih daripada RM2 hingga RM3 bilion nilai latihan dan pengetahuan yang akan sampai kalau kita dapat membina pusat latihan.
“Kerana mereka tidak perlu menghantar atau menjemput wakil mereka datang wakil mereka ke negara ini atau kita pergi menghantar ke California ataupun datang ke Boston, sebaliknya mereka boleh buat di Shah Alam,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Malawati, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Amirudin mengetuai delegasi 11 syarikat tempatan berkaitan teknologi ke AS pada 1 hingga 4 Mei lalu dalam sidang kemuncak pelaburan Select USA Investment 2023 anjuran Jabatan Perdagangan AS.
Jelas beliau, dalam lawatan tersebut delegasinya melawat tiga tempat seperti Dassault Systemes di Boston dan pusat sains di Los Angeles serta Apple Park di California.
Menerusi lawatan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan Negeri itu memaklumkan delegasinya antara wakil Malaysia bertuah dapat melawat Apple Park berikutan hubungan baik Selangor dengan syarikat tersebut.
“Sebab mereka ada kuota tertentu kepada negara dan juga di rantau ini jumlahnya terhad dan kita sangat berbangga kerana diberikan kesempatan untuk hadir dan juga diberikan taklimat bermula pukul 11 pagi hingga 4 petang secara berterusan dengan kepimpinan Apple.
“Ia akan mengukuhkan lagi kerjasama STDC yang kita bina dengan Apple dan bersedia melebarkan lagi beberapa kerjasama di antara kita,” ujarnya. – UTUSAN