Sebutan rayuan keputusan kes Jamal pada 17 Ogos depan - Utusan Malaysia

Sebutan rayuan keputusan kes Jamal pada 17 Ogos depan

Jamal
JAMAL MD YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan rayuan keputusan kes Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang dilepas dan dibebaskan berhubung kes memuat naik video kenyataan jelik dalam laman Facebooknya (FB), tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian berikutan pihak pendakwaan sebagai perayu belum menerima rekod berkaitan alasan penghakiman dan nota keterangan daripada Mahkamah Sesyen Ampang.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak memaklumkan pihaknya perlu meneliti rekod keputusan kes berkenaan bagi meneruskan rayuan tersebut.

“Kes (rayuan) ini masih di peringkat sebutan dan rekod tersebut belum lagi diterima setakat ini. Ia antaranya melibatkan nota keterangan mengenai keputusan kes itu daripada mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen Ampang),” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakili Jamal selaku responden berkata, pihaknya turut belum menerima sebarang dokumen berkaitan setakat ini.

“Kes-kes (sebutan) sebelum ini ditangguhkan kerana kami tidak terima dokumen tersebut,” katanya.

Pada 10 Ogos tahun lalu, Jamal dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan memuat naik video kenyataan jelik dalam laman FB.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob memutuskan demikian selepas mendapati  pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Jamal.

Mengikut dua pertuduhan itu, dia didakwa secara sedar memuat naik dua video kenyataan jelik sifatnya dengan niat menyakiti hati orang lain yang kemudian dilihat pada 20 Ogos 2020 pukul 12 tengah hari di Taman Dagang Avenue.

Kesalahan itu dilakukan menerusi perkhidmatan aplikasi FB menggunakan Profil Datuk Sri Jamal Yunos di pautan www. facebook.com/watch/live masing-masing pukul 10 pagi dan 3 petang, 19 Ogos tahun sama.

Jamal didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya