'Saya rindui celoteh dua anak lelaki buat panggilan video'

‘Saya rindui celoteh dua anak lelaki buat panggilan video’

MOHD. Husaini Amir (kiri) dan Muhammad Amirul Syafiq maut dalam kemalangan di Kilometer 257.4, Lebuhraya Utara Selatan dekat Senawang, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: “Saya akan merindui celoteh dua anak lelaki saya itu yang menjadi rutin hari­an mereka membuat panggilan video setiap hari.”

Itulah luahan Harun Ismail, 68, bapa kepada Mohd. Husaini Amir, 29, dan Muhammad Amirul Syafiq, 25, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 257.4, Lebuhraya Utara Selatan dekat Senawang, Negeri Sembilan, semalam.

Menurutnya, pada malam sebelum hari kejadian, kedua-dua anaknya itu membuat panggilan video dan memberitahu mereka akan keluar bekerja awal pagi pada hari kejadian itu.

“Dalam panggilan malam itu (Khamis), mereka memberitahu akan keluar bekerja awal pagi keesokannya (Jumaat).

“Sebab itu, pada awalnya, saya tidak percaya apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga mengenai dua anak saya me­ninggal dunia dalam kemala­ngan,” katanya ketika ditemui di selepas pengkebumian dua beradik itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian 7.05 pagi pa­da Jumaat, dua beradik itu maut selepas motosikal mereka me­rempuh belakang sebuah lori di Kilometer 257.4, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Senawang.

Mohd. Husaini Amir dan Muhammad Amirul Syafiq yang bekerja sebagai operator kren ketika itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Seri Kemba­ngan, Selangor ke tempat kerja di Senawang.

Selain itu, menurut Harun, kedua-dua anaknya itu juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kemalangan tersebut.

“Pada malam sebelum kejadian, ketika membuat panggilan video, mereka tetap ceria seperti biasa,” ujarnya

Tambahnya, dia juga tidak menyangka kedua-dua anak saya itu meninggal dunia selepas hampir genap dua tahun selepas ibu mereka meninggal dunia.

“Pada 7 Mei, genap dua tahun ibu mereka meninggal dunia, saya tidak sangka giliran anak-anak pula. Namun kami sekeluarga reda kerana Tuhan lebih sayangkan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN