Saliran tak diselenggara jejas ribuan pesawah

Saliran tak diselenggara jejas ribuan pesawah, MADA tolong bertindak

ROZABIL Abd. Rahman mendengar keluhan pesawah yang masih tidak dapat mengusahakan tanaman padi berikutan masalah saliran tidak diselenggara di Simpang Empat, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Masalah saliran atau sungai tidak diselenggara terus menghantui pesawah di negeri ini khususnya di kawasan Arau sehingga menyebabkan kebanyakan petani tidak dapat mengusahakan tanaman meskipun musim penanaman bermula sejak bulan lalu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, setiap kali musim menanam padi, masalah sama iaitu air tersekat di dalam bendang ekoran parit dan sungai di kawasan berkenaan tidak diselenggara terus berulang, sekali gus memberi kesan kepada lebih 700 pesawah dari lima buah kampung di sekitar sini.

Masalah tersebut membelenggu pesawah dari Kampung Behor Mempelam, Telaga Haji Latiff, Kampung Pida 2, Kampung Padang Besar Kurung Anai dan Pida 3 dengan keluasan sawah di situ dianggarkan lebih 300 hektar.

Terbaharu, lebih 2,000 pesawah di sekitar Simpang Empat dan Sanglang di sini turut berdepan masalah sama apabila air yang bertakung di dalam petak sawah tidak dapat mengalir keluar gara-gara sungai bagi menyalur air keluar tidak diselenggara dengan baik.

Para pesawah mendakwa, saluran air sepanjang 6.5 kilometer dari Sungai Tok Pulau hingga Sungai Pida 15 di Jalan Sanglang, Kedah sepatutnya diselenggara oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) empat kali setahun namun hanya dilaksanakan dua kali sahaja dalam tempoh berkenaan.

Menyedari kepayahan ditempuhi pesawah, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman meninjau kawasan terjejas di Simpang di sini semalam dan berjanji membawa aduan itu kepada pihak tertinggi.

Malah, untuk tindakan segera Rozabil berkata, pihaknya akan membantu membersihkan terlebih dahulu kawasan berkenaan bagi membolehkan pesawah menanam padi.

Katanya, isu berkenaan bukan baharu malah sudah berlarutan sejak sekian lama dan telah dipanjangkan kepada pihak MADA namun situasi sama tetap berulang.

“Kita lihat parit atau sungai ini penuh dengan sampah dan rumput menyebabkan saliran air tersekat. Sepatutnya pesawah-pesawah di sini sudah boleh menabur benih bulan Mei lalu dan sekarang sudah nak masuk bulan Jun tetapi masih tidak boleh menanam padi lagi ekoran masalah ini.

“Kalau diselenggara hanya dua kali setahun, saliran keluar masuk air di kawasan ini tidak berlaku dengan baik. Saya secara peribadi akan hubungi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk berbincang bagaimana menyelesaikan masalah ini.

“Dalam masa sama, saya sudah bincang dengan kawan-kawan UMNO bahagian untuk turun dulu membantu membersihkan kawasan yang kita fikir perlu sementara menunggu pihak terlibat melaksanakan tugas mereka.

“Ini (selenggara) adalah tugas MADA, jadi MADA kena fikir secara keseluruhan bagaimana hendak selesaikan masalah ini bukan hanya untuk tindakan sementara bagi memuaskan hati sesetengah pihak dalam masa singkat. Kalau tidak dibuat dengan teliti masalah ini akan terus berulang setiap musim,” katanya.

Sementara itu, seorang pesawah, Yasirul Hayat Amir Hamzah berkata, jika dahulu MADA membersihkan kawasan sungai ini sebanyak empat kali namun sekarang hanya tinggal dua.

Katanya, kerja-kerja pembersihan atau penyelenggaraan tersebut perlu dilaksanakan dengan kadar yang sepatutnya agar tidak memberi kesan kepada sistem saliran itu.

“Sungai ini tersumbat dengan pokok-pokok liar kerana puncanya tidak diselenggara. Lagi satu, kawasan di sini kerap hujan, kalau hujan lebat dalam tempoh dua jam sahaja kita memerlukan masa seminggu untuk air dalam petak sawah itu surut,” katanya.

Dalam pada itu, UMNO Bahagian Arau semalam mengambil tindakan segera membantu menyediakan jengkaut bagi membersihkan sungai yang tersumbat itu sekali gus meredakan kerunsingan para pesawah untuk memulakan kerja-kerja penanaman padi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya