RM6b: Peguam Negara perlu lebih masa untuk teliti representasi

Pecah amanah RM6b: Peguam Negara perlu lebih masa untuk teliti representasi

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memerlukan lebih masa untuk meneliti surat representasi yang dihantar oleh bekas Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah kerana ia membabitkan jumlah yang besar.

“Arahan saya pada hari ini ialah untuk memohon satu lagi tarikh pengurusan kes agar representasi boleh diberikan pertimbangan lanjut. 

“Ini kerana jumlah yang terlibat dalam pertuduhan ialah RM6.6 bilion, jadi memerlukan masa yang sedikit panjang untuk menyemak isu yang ditimbulkan dalam surat representasi,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Pendakwa raya itu juga memohon agar tarikh selanjutnya ditetapkan sekitar bulan September ini.

Representasi adalah surat yang dihantar oleh pihak pembelaan kepada pejabat pendakwaan negeri atau Jabatan Peguam Negara, Putrajaya dengan melampirkan fakta dan alasan kenapa pertuduhan yang dikenakan patut dipinda kepada seksyen pertuduhan yang lebih ringan atau dibatalkan.

Kes pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) sepatutnya mula dibicarakan pada 3 April lalu di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Mohd. Irwan Serigar didakwa bersama-sama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 24 Oktober 2018 dan masing-masing mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah pecah amanah tersebut.

Permohonan itu bagaimanapun dibantah oleh peguam bela, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan Serigar atas alasan tarikh sekitar bulan September terlalu jauh dan memohon agar pengurusan kes ditetapkan pada Julai.

“Kes ini sudah tergantung selama lima tahun. Anak guam saya (Mohd. Irwan Serigar) telah dituduh pada 2018 sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 2019. Dalam tempoh itu sehingga sekarang, pelbagai tarikh telah ditetapkan dan ditunda atas berbagai alasan.

“Saya juga pernah memohon agar anak guam saya dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tetapi telah ditolak. Oleh itu, tarikh bulan September adalah terlalu lama bagi anak guam saya yang terpaksa menanggung pertuduhan ini selama lima tahun. Ini tidak adil.

“Saya mohon agar tarikh pengurusan kes dibuat pada Julai kerana masa yang diberikan adalah mencukupi,”kata peguam itu.

Pada prosiding terdahulu, perbicaraan tersebut ditangguhkan selepas Kumaraendran memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menghantar representasi kedua selepas representasi pertama yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada 2020 tidak mendapat sebarang jawapan.

Pada ketika ini, Muhammad Saifuddin bangkit dan kembali menyatakan:”Tan Sri (Idrus) mohon tarikh bulan September.”

Sementara itu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib tidak membantah terhadap penangguhan tersebut.

Selepas mendengar hujah ringkas pihak-pihak terlibat, Hakim Muhammad Jamil menetapkan 9 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Najib dan Mohd. Irwan didakwa melakukan pecah amanah tersebut di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya