RM2.3 juta naik taraf penjara, pejabat parol di Kedah

RM2.3 juta naik taraf penjara, pejabat parol di Kedah

SHAMSUL Anuar Nasarah menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota Rela pada Majlis Ramah Mesra di Kelab Kedah Diraja, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan memperuntukkan lebih RM2.3 juta bagi menaiktaraf beberapa aspek di penjara dalam negeri ini agar kemudahan, keselamatan, kebajikan petugas serta keupayaan memberi latihan kepada tahanan selari dengan peredaran zaman.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan penjara di negara ini berada pada tahap terbaik dan setanding dengan penjara lain di seluruh dunia.

Menerusi peruntukan tersebut katanya, sebanyak RM685,000 disediakan bagi kerja-kerja pembaikan kuarters kakitangan penjara di Alor Setar dan Sungai Petani.

“Manakala sebanyak RM1.7 juta lagi diperuntukkan bagi tujuan pembaikan serta penyelenggaraan pejabat parol daerah antaranya di Kota Setar, Sungai Petani, Pokok Sena dan Akademi Koreksional di Langkawi.

“Langkah ini diambil bagi memastikan kebajikan para pegawai dan anggota terpelihara. Dalam masa sama, kita mahu memastikan agar penjara tidak sekadar menjadi pusat tahanan sebaliknya turut diubah suai sebagai pusat latihan bagi memberi peluang kedua kepada semua tahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kelab Kedah Diraja di sini, hari ini.

Sementara itu, Shamsul berkata, peranan Rela di negara ini tidak seharusnya dipandang ‘sebelah mata’ kerana mereka memainkan peranan penting sebagai sebuah agensi yang dekat dengan rakyat.

“Selain sumbangan daripada pihak polis dan agensi beruniform lain, Rela juga memainkan peranan cukup penting terutamanya ketika bencana dan musibah. Disebabkan itu KDN mahu memastikan agar kebajikan mereka juga terpelihara sepanjang masa,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya