Risiko daki Everest antara hidup dan mati - Utusan Malaysia

Risiko daki Everest antara hidup dan mati

MOHD. Rafi Kori menunjukkan peta laluan Everest Base Camp. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seseorang pendaki yang berhasrat untuk menakluk puncak Gunung Everest sebenarnya sudah bersedia dengan risiko antara hidup dan mati.

Pendaki Gunung Everest ke-10 dari Malaysia, Mohd. Rafi Kori, 44 berkata, ini kerana laluan ke puncak tertinggi dunia itu bukan satu perkara mudah kerana semua pendaki perlu melepasi 1,001 halangan dan cabaran melibatkan mental dan fizikal sepanjang ekspedisi berlangsung.

Mohd. Rafi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kembara Negara berkata, walaupun pendakian ke ‘bumbung dunia’ itu sangat berisiko, namun, dengan latihan mencukupi dan mengikut segala prosedur pendakian, pasti impian mereka yang mahu menakluknya akan tercapai.

Katanya, sebelum berjaya melakar sejarah menawan puncak itu bersama enam lagi peserta Ekspedisi Merdeka De ‘Everest pada tahun 2007, kesemua mereka terpaksa melakukan beberapa latihan pendakian wajib selama dua tahun sejak 2005.

Anak jati Pulau Manis, Serada, di sini, berkata, beliau dan peserta ekspedisi yang lain juga tidak ketinggalan berdepan beberapa kali detik yang sangat mencemaskan hingga hampir kehilangan nyawa.

Katanya, antara insiden yang tidak boleh dilupakan ialah runtuhan salji yang berlaku di sekitar Khumbu Ice Fall ketika beliau bersama tiga lagi pendaki iaitu Marina Ahmad; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Khalid Yunus dan seorang Sherpa dalam perjalanan turun dari puncak.

“Dalam keadaan suhu yang terlalu sejuk dan keletihan yang sangat melampau, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi kuat dari atas dan nampak ada runtuhan salji berlaku. Keadaan memang kelam kabut, tak tahu nak lari ke mana selamatkan diri dan akhirnya kami hanya bertawakal dengan pegang erat tangan masing-masing sebagai benteng.

“Secara kebetulan, kejadian itu dapat disaksikan beberapa kru penerbitan RTM yang berada di tapak ‘basecamp’ di bawah dan kesemua mereka menyangka kami terkorban dalam tragedi itu. Berpantang maut sebelum ajal, entah bagaimana, tiba-tiba runtuhan salji itu melencong ke arah lain dan kami hanya terkena serpihan debunya sahaja. Saya menyifatkan insiden hampir 60 saat itu adalah detik paling mencemaskan sepanjang hidup,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Rafi yang merupakan pendaki Gunung Everest ke 1,762 dunia berkata, kerjasama berkumpulan juga sangat penting sepanjang ekspedisi kerana hanya mereka insan paling dekat yang boleh menghulurkan pertolongan ketika berdepan pelbagai cabaran di sana.

“Paling berdebar ketika hendak menggunakan tangga besi yang di bawahnya terdapat rekahan ais yang sangat curam. Tersilap langkah, boleh terjatuh dan mayat akan tergantung. Setiap kali ternampak mayat pendaki lain dibawa keluar, kami bersyukur kerana Allah masih memanjangkan umur kami untuk berkongsi pengalaman berharga ini dengan rakyat Malaysia yang lain,” katanya.

Beliau menambah, antara cabaran terbesar pendaki Everest ialah simptom akut ketinggian gunung (Acute Mountain Sickness) yang akan menyebabkan fokus kepada teknik-teknik pendakian semakin berkurangan.

“Selain itu pendaki juga terdedah dengan ancaman muka bumi yang rapuh serta curam terutama di kawasan ‘Hillary Step’ dengan kecerunan antara 70 hingga 80 darjah, sedikit kesilapan pasti nyawa jadi taruhan. Strategi dalam mengatur penggunaan oksigen juga sangat penting dan memilih waktu pendakian yang betul sangat perlu kerana perubahan cuaca dan angin boleh berlaku secara mendadak,” katanya yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-16 kejayaan pendakian ke Gunung Everest, semalam.

Pada masa sama, tambahnya, beliau sedih dengan berita pemergian Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob dalam ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya