SELAYANG: Seorang pemilik sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menjual petrol RON95 bersubsidi kepada warga asing dari Thailand yang tular di media sosial, awal Januari lalu.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, selepas lelaki itu selaku Orang Kena Saman (OKS) kekal mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.
Sekiranya OKS gagal membayar denda, dia boleh dipenjara enam bulan dan OKS membayar denda berkenaan.
Pada 15 Mac lalu, OKS telah didakwa di mahkamah sama dan mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit. Hari ini ditetapkan untuk jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Naziruddin selaku pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel gagal untuk mematuhi Arahan Pengawal Bekalan iaitu menjual barang kawalan berjadual petrol RON 95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Thailand perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat, Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara pada pukul 9.16 pagi pada 1 Januari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).









