Projek tambak laut PSI perlu kelulusan EIA baharu? - Utusan Malaysia

Projek tambak laut PSI perlu kelulusan EIA baharu?

R. MEENAKSHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) memerlukan satu Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) baharu selepas kerajaan negeri memutuskan untuk mengecilkan skop projek berkenaan.

Sehubungan itu, Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, pihaknya akan berhubung dengan Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar bagi mendapatkan kepastian sama ada EIA bagi projek PSI yang telah diluluskan sebelum ini masih terpakai atau sebaliknya memandangkan projek itu dikecilkan kepada hanya satu pulau berbanding tiga pulau sebelum ini.

”Kami tidak boleh menyatakan bahawa EIA sebelum ini telah terbatal, kami akan berhubung dengan Ketua Pengarah JAS untuk mendapatkan maklum balas kedudukan sebenar EIA kerana skop projek telah berubah.

”Pada pandangan kami, EIA baharu untuk projek PSI perlu diperoleh semula oleh kerajaan negeri memandangkan terdapat perubahan dalam konsep pembangunan projek, reka bentuk atau keperluan (statement of need) projek ini.

”Ini kerana salah satu daripada 71 syarat kelulusan EIA sebelum ini menyatakan sekiranya berlaku sebarang perubahan konsep pembangunan seperti yang dinyatakan di dalam laporan EIA, ia hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling terlebih dahulu sebelum dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Projek tambak laut PSI kini dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini meminta kerajaan negeri mengkaji semula dan memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek tersebut.

Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, terdapat keperluan penilaian impak hidraulik dan hidrologi baharu yang meliputi aliran semasa, paras air, keadaan ombak, pemendapan dan hakisan serta lain-lain isu berkaitan projek penambakan itu.

”Ini akan berubah apabila projek itu kini hanya mempunyai satu pulau dan bukannya tiga pulau seperti yang dirancang sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, kajian migrasi udang yang perlu dilakukan lebih awal di bawah EIA yang baharu diluluskan juga masih belum selesai.

”Ini adalah komponen penting untuk dinilai memandangkan penambakan Pulau A melibatkan 930 hektar, ia bakal memberi impak kepada hidupan marin, migrasi udang, keselamatan makanan dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, keperluan projek itu juga telah berubah memandangkan Kerajaan Pusat menyediakan dana yang diperlukan untuk menangani masalah pengangkutan di negeri ini.

”Oleh itu, kerajaan negeri tidak boleh bergantung kepada kelulusan EIA terdahulu dan meneruskan dengan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) memandangkan perubahan-perubahan yang telah berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya