Program MyLesen atasi kekurangan pemandu bas

Program MyLesen atasi kekurangan pemandu bas

ANTHONY Loke (tengah) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bergambar bersama peserta Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di Sungai Petani. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kementerian Pengangkutan akan memperluas program MyLesen membabitkan lesen perkhidmatan kenderaan awam (PSV) kelas E bagi bas sebagai salah satu usaha mengatasi kekurangan pemandu dalam industri itu.

Menterinya, Anthony Loke berkata, langkah itu juga untuk memastikan industri perkhidmatan bas lebih berdaya saing dan selamat.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada pengusaha-pengusaha dalam industri perkhidmatan bas yang diperoleh sebelum ini, terdapat kekurangan bilangan pemandu bas di negara ini.

“Kita memang kekurangan pemandu bas, sama ada bas henti-henti atau bas ekspres. Saya difahamkan oleh pengusaha-pengusaha industri bas memang sukar untuk mendapat pemandu bas, bukan sahaja sukar untuk rekrut tetapi juga untuk kekalkan.

“Sebab itu kita buat program ini supaya dapat latih pemandu untuk dapat lesen dan kita mahu melahirkan pemandu-pemandu yang baik serta berhemah supaya memastikan industri perkhidmatan bas juga dapat berdaya saing dan selamat,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini. 

Sementara itu, Anthony tidak menafikan ramai pemandu bas dari negara ini yang berhijrah untuk bekerja sebagai pemandu kenderaan itu di negara jiran, Singapura kerana pendapatan yang lebih lumayan di sana.

“Ini juga punca kita kekurangan pemandu bas dan sebab itu kita berhasrat melaksanakan satu program untuk melatih dan melesenkan pemandu-pemandu bas.

“Program itu sama seperti yang kita lancarkan hari ini, calon yang layak akan mengikuti kelas di institut memandu dan menduduki ujian dan semua ditanggung oleh kerajaan,” katanya. 

Dalam pada itu, seramai 9,000 calon terdiri daripada golongan B40 menerima manfaat menerusi Program MyLesen B2 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.7 juta merangkumi kos ujian dan latihan.

“Kita juga bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi lain antaranya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi lain untuk memperluas lagi program ini tetapi peruntukkan itu perlu datang daripada agensi masing-masing,” katanya.

Program MyLesen B2 bagi membantu golongan B40 mendapatkan lesen memandu Kelas B2 (motosikal) ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Belanjawan Madani 2023 yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya