PRN: PN sedia berdepan saingan sengit - Utusan Malaysia

PRN: PN sedia berdepan saingan sengit

WAN SAIFUL Wan Jan menyantuni orang ramai yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Parlimen Tasek Gelugor di Jeti Pantai Bersih, Bagan Ajam, Pulau Pinang hari ini. - Pix IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Perikatan Nasional (PN) melahirkan keyakinan gabungan parti itu mampu menawan Pulau Pinang biarpun berdepan persaingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan dijangka memberi cabaran hebat di kesemua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Pulau Pinang.

Katanya, umum mengetahui keenam-enam negeri yang bakal mengadakan PRN memiliki `ranking’ persaingan masing-masing, namun Pulau Pinang antara yang paling mencabar bagi PN.

“Bagaimanapun, cabaran tidak melemahkan semangat kami apatah lagi apabila sokongan terhadap PN semakin meningkat.

“Berdasarkan kajian yang kita buat, sokongan terutamanya daripada pengundi bukan Melayu semakin bertambah ekoran mereka semakin menyedari pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin ‘cacamarba’.

“Jika sebelum ini PN menyasarkan mahu menjadi pembangkang yang kuat, namun kali ini kita yakin gabungan parti komponen ini berkemungkinan boleh menjadi kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan yang ada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persediaan PN terutama Bersatu dalam berdepan PRN negeri ini.

Terdahulu, lebih 5,000 tetamu hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmatnya di Jeti Pantai Bersih, Bagan Ajam, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi sudah selesai biarpun belum dimuktamadkan di peringkat pimpinan PN Pusat.

“Biasalah, dalam perbincangan pastinya ada hujah dan pandangan masing-masing, tapi kita berjaya mencapai persefahaman untuk pembahagian kerusi.

“Kita juga ada berbincang mengenai nama-nama calon yang disenaraikan akan bertanding tetapi apapun, keputusan akhir senarai pemilihan bergantung kepada penilaian di peringkat tertinggi.

“Kita bermesyuarat hampir setiap bulan bagi menyusun gerak kerja untuk melancarkan PRN nanti,” katanya.

Ditanya sama ada PN sudah menyenaraikan calon yang bakal dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya memenangi PRN Pulau Pinang, beliau berkata, perkara berkenaan ada dalam perbincangan.

“Sekiranya kita diberikan amanah dan mandat untuk mentadbir negeri ini, sudah semestinya kita bersedia supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat berbanding kerajaan yang sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.