PRN: Pas Kedah sudah ada calon-calon boleh menang - Utusan Malaysia

PRN: Pas Kedah sudah ada calon-calon boleh menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas Kedah bakal mempertaruhkan kombinasi calon muka lama dan baharu dalam misi mempertahan Kerajaan Negeri Kedah yang kini ditadbir Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, walaupun parti itu belum memuktamadkan senarai calon yang akan ditampilkan, Pas khususnya sudah bersedia de­ngan calon boleh menang.

“Kita belum memuktamadkan calon-calon yang bertan­ding pada PRN Kedah nanti tetapi sudah tentu ada wakil rakyat kini yang akan terus ditawarkan peluang bertanding di kawasan masing-masing dan ada juga calon muka baharu yang kita akan perkenalkan.

“Kita sudah bersedia bersama calon-calon boleh menang yang ada pelbagai latar belakang bagi menggandakan kemenangan PN di Kedah kelak,” katanya.

Pada 14 April lalu, Ketua Pe­ngarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Menteri Besar berkata, rundingan kerusi antara PN di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah selesai kecuali Negeri Sembilan dan Sela­ngor yang dijangka dimuktamad­kan tidak lama lagi.

Sementara itu menyentuh pembahagian kerusi berkenaan, Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas berkata, perbinca­ngan berkaitan agihan kerusi berjalan sangat baik dan dalam suasana harmoni antara parti-parti dalam PN untuk menghadapi PRN.

“Ada pelbagai kaedah yang biasa digunakan antaranya status quo yang penyandang kekal (diwakili parti sama) tetapi tidaklah secara kekal kerana tetap ada keanjalan mengikut situasi tertentu.

“Kaedah lain kita amalkan mungkin mana-mana kerusi Parlimen yang tidak ada (diwa­kili) rakan, akan kita beri kepada rakan (untuk bertanding). Begitu juga jika Pas yangg tidak diwakili mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sesuatu kawasan, ada kerusi kepada Pas.

“Apa-apa pun saya bagi pihak Pas menghargai rakan-rakan parti lain yang memberi kerjasama dalam hal ini. Dengan gabungan kerjasama, kesungguhan serta suasana baik ini kami yakin rakyat Kedah khususnya dan juga lima negeri lain akan bersama PN,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad mengingatkan asas penyertaan pada PRN kali ini adalah di bawah PN yang harus menjadi keutamaan tanpa mengira calon daripada parti mana yang ditampilkan.

“Maka, atas kesepakatan jentera PN kita akan bekerja sebaik mungkin tanpa kira calon daripada parti mana yang turut menjadi asas kepada kebersamaan dan semangat setiakawan untuk semarak semangat jentera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN