PH-BN sedang bercelaru - Sanusi

PH-BN sedang bercelaru – Sanusi

Rayuan Kerajaan Negeri Kedah yang enggan memberi serta memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri ditolak oleh Mahkamah Rayuan dengan alasan tindakan sedemikian tidak berperlembagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerjasama parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) disifatkan bercelaru terutama membabitkan isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu jelas apabila Parti Amanah Negara (Amanah) terpaksa memohon maaf kepada UMNO kerana keterlanjuran seorang pemimpinnya berhubung isu itu, namun DAP tidak diasak berbuat demikian walaupun membuat kenyataan sama.

“Nampak celarukan? Amanah minta ampun kat UMNO. UMNO minta ampun bagi pihak Datuk Seri Najib. Amanah tak setuju, UMNO marah Amanah. Amanah minta maaf kat UMNO. 

“DAP kata depa pun tak setuju. Tapi UMNO tak kata apa kat DAP. Kan celaru itu, Amanah depa buli lagu tu ja, saya kasihan PAN (Amanah) tak dan sehari pi minta maaf terus. Aduh hilanglah identiti depa,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub memohon maaf kepada UMNO di atas keterlanjuran kenyataan Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd. Samad berhubung isu pengampunan Najib dan berharap ianya dapat diselesaikan, selain beliau sendiri sudah berjumpa dengan Presiden UMNO serta timbalannya.

Khalid dilapor merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan pengampunan terhadap Najib dan Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi memberi peringatan agar batasan yang ada dalam jalinan kerjasama antara PH dan BN tidak boleh dilanggar kerajaan.

Mengulas lanjut, tambah Muhammad Sanusi, situasi itu juga seolah-olah membuktikan DAP menjadi ‘abang besar’ dalam kerjasama PH dan BN walaupun pemimpin mereka turut mengeluarkan kerjasama seperti Amanah. 

“Dengan DAP, Ong Kian Ming cakap tak kata apa, relaks kan. Tengok siapa abang besar dalam PH dan BN. Saya tak mahu itu. Saya nak PN terus kepalai politik negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PN beranggapan kesediaan tokoh-tokoh ternama yang juga bekas pemimpin UMNO menyertai gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi memberi kelebihan kepada mereka.

Kata Muhammad Sanusi, PN sedia menerima kemasukan individu terlibat tanpa sebarang rundingan selagi perjuangan mereka relevan dengan gabungan tersebut kerana pemimpin itu mempunyai pengaruh di kawasan masing-masing yang mampu memberi kemenangan.

“(Kehadiran mereka) itu bukan pancing, mereka yang lompat ke darat. Apabila batu jatuh dalam air, semua-semua ini akan melompat keluar, ibarat macam itulah. Mereka yang intai kita, kita terbuka dan terima siapa sahaja yang masih relevan dan selari dengan perjuangan kita.

“Silalah datang Khairy Jamaluddin, (Tan Sri) Annuar Musa dan (Tan Sri) Noh Omar, anda amat dialu-alukan. Tak payah berunding apa dah, datang saja dan kami akan terima dengan hati terbuka,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN