MUAR: Seorang pesara warga emas kerugian RM89,300 akibat diperdaya penipuan kiriman bungkusan yang tidak wujud atau Parcel Scam selepas ditunjukkan surat notis kehadiran ditandatangani individu yang menyamar polis di sini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa yang berusia 68 tahun itu menerima panggilan daripada seseorang memaklumkan terdapat parcel atas nama wanita itu yang mengandungi butiran kad pengenalan dan kad kredit daripada Pos Laju.
Katanya, panggilan tersebut kemudiannya disambung kepada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai polis.
Menurutnya, polis terbabit kemudian menjelaskan mangsa didakwa terbabit dalam kes penyeludupan dadah dan menggelapkan wang.
“Tanpa membuat usul periksa, mangsa terus mempercayainya ditambah pula dengan taktik suspek menunjukkan surat notis terbabit.
“Berikutan itu, mangsa segera melakukan empat transaksi memindahkan wang secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Raiz Mukhliz, mangsa menyedari dia telah ditipu terus membuat laporan polis semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Katanya, ini adalah kes ketiga dalam tempoh kurang sebulan termasuk dua kes melibatkan seorang lelaki yang kerugian RM7,500 selepas berkongsi nombor pas pengesahan transaksi (OTP) dengan individu tidak dikenali.
“Sebelum itu, terdapat juga kes melibatkan seorang jururawat yang menanggung kerugian RM8,820 kerana terpedaya dengan Love Scam,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tindakan licik sindiket.
Katanya, masyarakat diingatkan jangan terlalu mudah mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak tidak dikenali. – UTUSAN










