Pengundi belum boleh terima calon KM wanita

Pengundi belum boleh terima calon KM wanita

MOHD. YADZIL YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021 mungkin lebih memihak kepada Perikatan Nasional (PN), seandainya calon Ketua Menteri yang ditawarkan gabungan itu adalah seorang pemimpin lelaki.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PN Melaka yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr. Mohd. Yadzil Yaakub mengakui, faktor poster boy yang melangkau kebiasaan ketika itu menjadi antara punca PN gagal menepati sasaran awal iaitu menang 18 daripada 28 kerusi ditandingi.

Beliau berkata, para pengundi di Melaka dilihat belum terbuka untuk menerima tawaran calon Ketua Menteri wanita pertama, meskipun calonnya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bukanlah calang-calang pemimpin.

Jelasnya lagi, selain perkara itu, isu peletakan calon-calon yang banyak didominasi oleh ‘orang luar’ juga menjadi penyum­bang PN hanya berjaya memenangi DUN Bemban dan Sungai Udang.

“Mungkin, benda itu saya tidak boleh nafikan juga sebab macam saya cakap, faktor-faktor kemenangan itu memang ada beberapa, salah satunya calon, poster boy dan jentera parti.

“Jadi ada kemungkinan berbeza hasil keputusannya. Mungkin sama ada bentuk kerajaan PN ataupun bentuk kerajaan Barisan Nasional (BN) juga tetapi dengan jumlah pembangkang lebih ramai. Memang ada faktor itu.

“Saya setuju juga dengar ada orang-orang bercakap dengan penerimaan nama calon Ketua Menteri wanita mungkin susah untuk diterima, dalam Islam juga macam itu. Pendapat ma­sing-masing, hak masing-masing nak bercerita, nak mendakwa pasal hal itu.

“Waktu PRN sasaran kita besar iaitu bentuk kerajaan lebih separuh, paling kurang pun 18 kerusi. Tapi itulah, benda itu banyak hal, percaturan itu ada yang baik ada yang tidak betul. Susunan misalnya calon-calon, ada yang kita tidak kenali dari awal, ‘orang luar’ itu yang menyebabkan berlaku perpecahan dalaman itu sendiri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban.

Pada 18 November 2021 iaitu kira-kira dua hari sebelum pe­ngundian, PN menamakan Mas Ermieyati yang bertanding di DUN Tanjung Bidara sebagai calon Ketua Menteri, sekiranya parti berkenaan memenangi PRN Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Muh­yiddin Yassin berkata, keputusan dibuat berikutan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu seorang wanita berkelayakan, profesio­nal, muda dan mempunyai ba­nyak pengalaman.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan tawaran pernah dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang menjemput dirinya dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof menyertai kerajaan perpaduan Melaka, Mohd. Yadzil berkata, Ab. Rauf tidak pernah menyatakan hasrat itu secara pertemuan empat mata.

“Tidak ada, dia tidak tawarkan cuma dia buat dalam sidang akhbar. Senang tak lama, benda itu nanti akan beri kesan buruk kepada PN juga.

“Sebab saya bawa nama parti, bukan nama saya sendiri. Benda itu akan terpalit pada saya sendiri. Saya rasa, saya tidak akan lama dalam politik kalau macam itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×