Pengguna mula terima bekalan gula - Utusan Malaysia

Pengguna mula terima bekalan gula

SYAHRUL Amiruddin menunjukkan bekalan gula yang dijual di premisnya di Kampung Batu Enam, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Golongan peniaga dan pengguna di negeri ini menarik nafas lega apabila bekalan gula yang terjejas sejak dua minggu lalu kembali pulih.

Seorang peniaga kedai runcit di Batu Enam di sini, Syahrul Amiruddin, 33, berkata, bekalan barang kawalan itu mulai pulih secara berperingkat sejak kelmarin.

Namun katanya, buat masa ini, dia terpaksa mengehadkan pembelian dua peket kepada pelanggannya ekoran bekalan gula itu masih belum stabil 100 peratus.

“Bekalan sudah mula diterima sejak semalam (kelmarin) tetapi tidak banyak berban­ding kebiasaan. Cuma beberapa pembekal masih kekurangan bekalan gula.

“Saya hanya menerima 100 sehingga 120 kilogram (kg) atau 60 peratus jika dibandingkan kebiasaan. Mungkin minggu ini bekalan akan pulih sepenuh­nya,” katanya ketika ditemui di di sini semalam.

Seorang lagi peniaga, Zakaria Sulong, 45, berkata, sebanyak 80kg gula habis terjual dalam masa sehari, kelmarin, selepas pengguna mendapat tahu bekalan kembali pulih.

Menurutnya, dia sudah membuat tempahan bekalan lebih 100kg gula daripada pembekal minggu ini bagi memenuhi permintaan pasaran.

Sementara itu, seorang pengguna, Azilah Mamat dari Chendering pula memberitahu, terdapat premis perniagaan meletakkan syarat pelanggan perlu membeli barangan lain sebelum dapat membeli gula.

“Peniaga didapati mengambil kesempatan melariskan barangan lain apabila meletakkan syarat tersebut kepada pelanggan yang ingin membeli gula,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN