PADA 5 dan 8 Jun lalu, dunia sekali lagi memberi tumpuan kepada isu kelestarian melalui sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Lautan Sedunia. Kedua-dua tarikh ini bukan sekadar acara tahunan simbolik tetapi peringatan penting terhadap krisis iklim dan kehilangan biodiversiti yang semakin membimbangkan.
Tahun ini, Baku, Azerbaijan menjadi tuan rumah Hari Alam Sekitar Sedunia dengan tema ‘Diinspirasikan oleh Alam. Demi Iklim. Untuk Masa Depan Kita’.
Fokus utama adalah tindakan iklim yang lebih agresif, penyelesaian berasaskan alam semula jadi serta pemulihan ekosistem.
Dunia kini bergerak pantas ke arah urbanisasi, namun cabaran seperti ribut, banjir dan gelombang haba semakin kerap berlaku.
Tema ‘berdaya tahan’ menekankan keperluan membina bandar yang bukan sahaja moden, tetapi juga mampu menghadapi perubahan iklim.
Teknologi hijau seperti kecerdasan buatan (AI) dan hidrogen hijau diketengahkan sebagai pemacu ekonomi lestari, namun semua ini tidak bermakna jika suhu global gagal dikekang daripada melepasi 1.5°C.
Hari Lautan Sedunia pula membawa mesej yang tidak kurang mendesak. Dengan berkuat kuasanya Perjanjian Laut Lepas pada Januari 2026, dunia kini mempunyai instrumen undang-undang untuk melindungi biodiversiti di perairan antarabangsa.
Tema ‘Kawasan Perlindungan Marin yang Kukuh untuk Planet Biru Kita’ menuntut sekurang-kurangnya 30 peratus lautan dilindungi menjelang 2030.
Lautan bukan sekadar sumber makanan dan ekonomi tetapi juga penghasil oksigen serta penstabil iklim global. Namun, ia semakin terancam oleh pencemaran plastik, sisa kimia dan eksploitasi berlebihan.
Malaysia perlu memberi respons lebih serius termasuk memperkukuh Taman Laut sebagai benteng ekosistem marin.
Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Program Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) perlu dijadikan teras utama untuk memastikan kesedaran diterjemahkan kepada tindakan.
Sekolah perlu memperkukuh kurikulum alam sekitar dengan pendekatan praktikal melalui aktiviti lapangan. Pelajar tidak wajar hanya didedahkan kepada teori, sebaliknya perlu mengalami sendiri kesan dan tanggungjawab menjaga alam sekitar.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula perlu menjadi rakan strategik dalam melaksanakan program komuniti, manakala media berperanan menyebarkan maklumat dan memperkukuh suara pakar serta masyarakat.
Isu alam sekitar perlu ditangani secara menyeluruh dan sistematik, merangkumi pencemaran udara, air bersih, sisa kimia dan plastik. NGO boleh bertindak sebagai penghubung antara masyarakat dan dasar kerajaan.
Dalam perspektif Islam, manusia sebagai khalifah di bumi mempunyai tanggungjawab moral dan agama untuk memelihara alam sekitar, bukan sekadar pilihan tetapi amanah yang wajib dipikul.
Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 tidak lagi boleh dilihat sebagai acara seremonial. Ia adalah seruan kecemasan untuk mengubah kesedaran kepada tindakan nyata. Pendekatan simbolik perlu diganti dengan penyelesaian berimpak tinggi.
Pengurusan sisa perlu beralih kepada amalan kitar semula dan kompos, manakala penggunaan kenderaan mesra alam seperti berjalan kaki dan berbasikal perlu digalakkan. Laluan pejalan kaki perlu diperluas, penggunaan tenaga solar dipertingkatkan, dan penjimatan tenaga perlu menjadi budaya harian. Setiap tindakan kecil hari ini adalah pelindung kepada generasi masa hadapan.
Hari Lautan Sedunia pula perlu dilihat sebagai titik perubahan daripada sekadar kesedaran kepada tindakan tegas. Pencemaran plastik mesti dihentikan melalui pengurangan penggunaan plastik sekali guna dan penguatkuasaan ekonomi kitaran. Perlindungan habitat marin perlu diperkukuh secara menyeluruh, termasuk kawalan sisa kimia dan eksploitasi laut secara berlebihan.
Setiap usaha kecil seperti pengurangan penggunaan minyak, pengurusan sisa yang betul dan sokongan terhadap kawasan perlindungan marin adalah pelaburan penting kepada kestabilan iklim global.
Akhirnya, kedua-dua sambutan ini perlu dijadikan titik tolak perubahan. Sekolah, komuniti, NGO, kerajaan dan media perlu bergerak secara serentak dalam agenda hijau negara.
Sambutan ini bukan dua peristiwa berasingan tetapi satu seruan bersama untuk bertindak. Masa depan planet bergantung kepada keberanian tindakan kita hari ini, bukan sekadar retorik atau simbolik tahunan. –UTUSAN
PROFESOR DR. AHMAD ISMAIL
Felo Akademi Sains Malaysia










