Trump pamer pesawat mewah hadiah kerajaan Qatar

Trump tayang pesawat mewah hadiah kerajaan Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump memperkenalkan pesawat baharu Boeing 747-8 untuk Air Force One yang didermakan oleh kerajaan Qatar tahun lalu sebagai hadiah ‘tanpa syarat’ kepada Amerika Syarikat (AS).

Tentera AS menyiapkan pengubahsuaian ke atas pesawat jet mewah itu, yang dianggarkan bernilai sekitar AS$400 juta (RM1.6 bilion).

“Pesawat ini diubah menjadi Rumah Putih terbang pada tahap kemewahan yang belum pernah dilihat sebelum ini,” kata Trump dalam satu ucapan di Pangkalan Bersama Andrews pada Jumaat.

Tentera Udara AS dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat itu akan memulakan penerbangan ujian awal bagi proses penilaian terakhir terhadap pengubahsuaian yang dilakukan, sebelum digunakan untuk mengangkut presiden.

Pengubahsuaian pesawat itu merangkumi naik taraf dalam aspek keselamatan, komunikasi misi, sokongan logistik serta teknologi canggih, menurut Tentera Udara AS.

Sebarang ancaman berpotensi daripada pesawat yang dimiliki sebelum ini telah ‘dineutralkan’, tambahnya.

Bahagian dalaman pesawat hanya mengalami perubahan minimum, manakala bahagian luar menerima cat baharu berwarna merah, putih, biru dan emas.

Pada Mei 2025, keluarga diraja Qatar mendermakan pesawat mewah Boeing 747-8 itu kepada Jabatan Pertahanan AS untuk digunakan sebagai sebahagian daripada armada pesawat yang dikenali sebagai Air Force One, iaitu pengangkutan udara rasmi presiden.

Apabila berita mengenai hadiah pesawat itu didedahkan tahun lalu, ia mencetuskan bantahan daripada kedua-dua parti politik, termasuk dalam kalangan sekutu Trump sendiri.

Pengkritik menyifatkan penerimaan sumbangan bernilai tinggi itu menimbulkan konflik kepentingan dan mungkin bercanggah dengan perlembagaan.

Walaupun undang-undang persekutuan menetapkan pegawai kerajaan AS hanya boleh menerima hadiah bernilai sehingga AS$480 (RM1,986), Rumah Putih menegaskan penerimaan pesawat itu adalah sah di sisi undang-undang, serta menyatakan ia akan didermakan kepada perpustakaan presiden Trump selepas beliau meninggalkan jawatan.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×