PETALING JAYA: Golongan pekerja disaran menyediakan ‘talian hayat’ yang lain selain daripada caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mereka menjalani kehidupan yang selesa selepas persaraan.
Penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, mereka boleh membeli saham, emas atau menyimpan dalam tabung-tabung yang lain seperti Tabung Haji sebagai tambahan kepada simpanan KWSP.
Menurut beliau, simpanan dalam bentuk lain itu wajar disediakan memandangkan jumlah anggaran RM600,000 dalam akaun KWSP pencarum sukar untuk menampung kos kehidupan selama 20 tahun selepas bersara.
“Golongan M40 mungkin dapat capai RM600,000 itu iaitu pendapatan bulanan RM5,000 ke atas tetapi bagi yang kurang daripada itu, mungkin sukar. Sebab itu, bagi saya perlu ada simpanan lain atau sampingan.
“Jadi ini menandakan pencarum yang tidak boleh mencapai jumlah simpanan KWSP lebih RM600,000 perlu mengambil inisiatif lain untuk memastikan kesejahteraan mereka selepas bersara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kajian KWSP mendapati jumlah simpanan yang mencukupi untuk pencarum bersara pada usia 60 tahun sekurang-kurangnya RM600,000.
Jumlah tersebut untuk dibelanjakan bagi tempoh 20 tahun atau sehingga pesara berumur 80 tahun bagi menampung kos sara hidup tetapi bukan untuk membayar caj perubatan dan membayar baki hutang.
Mengulas lanjut, Abu Sofian berpendapat dapatan kajian tersebut perlu dipandang serius dan desakan supaya kerajaan membenarkan pencarum melakukan pengeluaran perlu dihentikan segera.
Sebaliknya, jelasnya, desakan itu harus berfokus kepada kerajaan supaya dapat menambah simpanan KWSP pekerja bagi membantu mereka berdepan kos sara hidup pada masa depan.
“Sebagai contoh seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kabinet akan berbincang mengenai cadangan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus.
“Namun, bagi saya pelaksanaan cadangan tersebut sekiranya diluluskan Kabinet adalah perlu mengikut saiz pendapatan dan keuntungan sesebuah syarikat. Jika besar boleh terus 20 peratus tetapi jika sederhana 15 peratus sudah mencukupi,” katanya. – UTUSAN










