Pemborong utama dilantik sebagai pengantara di setiap daerah atasi isu gula - Utusan Malaysia

Pemborong utama dilantik sebagai pengantara di setiap daerah atasi isu gula

S. JEGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Bagi memastikan krisis bekalan gula tidak berpanjangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengambil inisiatif melantik lima pemborong utama untuk barang kawalan itu di setiap daerah di negeri ini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, kelima-lima pemborong terbabit akan bertindak sebagai pengantara antara KPDN negeri dan peruncit supaya masalah bekalan gula dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Dalam hal ini, katanya, pemborong yang dilantik juga akan mendapat sehingga 30 peratus gula tambahan daripada pengilang di bawah pelan tindakan ‘Dedicated Direct Wholesaler’ (DDW) yang dilancarkan semalam.

Jegan berkata, di bawah pelan sama, seramai lapan peruncit yang menghubungi pejabat KPDN negeri untuk mendapatkan bekalan gula daripada pemborong yang dilantik telah dibantu setakat ini.

“Peruncit-peruncit yang menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan gula perlu menghubungi talian pejabat 04-3840154/155/158 dan
Unit Bekalan akan memaklumkan di mana dan bagaimana mereka boleh mendapatkan bekalan gula daripada pemborong yang dilantik.

“Dengan langkah ini, kita berharap dapat membantu pengguna mendapatkan gula di mana-mana kawasan yang terjejas di seluruh Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, buat masa ini, pemborong dilantik hanya akan menjual gula kepada peruncit dengan arahan KPDN negeri sahaja dan pelanggan baharu yang datang secara ‘walk-in’ atau bersemuka tidak akan dapat membeli gula sebagai langkah kawalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ini, jumlah pengedaran gula satu kilogram (kg) di negeri ini adalah sebanyak 628.4 metrik tan dengan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menerima edaran tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 378.2 metrik tan.

Ini diikuti oleh daerah Timur Laut dan Barat Daya iaitu masing-masing menerima edaran sebanyak 174.7 metrik tan manakala daerah Seberang Perai Utara (SPU) pula menerima edaran terendah iaitu dengan 75.5 metrik tan.

Dalam pada itu, Jegan memberitahu, sehingga kini, sebanyak 840 pemeriksaan berkaitan bekalan gula telah dijalankan termasuk di bawah Ops Pantau, Ops Bekalan serta sektor industri yang menggunakan gula dan sebagainya.

“Setakat hari ini juga, kita hanya menerima tiga aduan mengenai gula termasuk tiada stok serta tiada tanda harga pada gula yang dijual dan kesemua aduan ini telah disiasat.

“Pada masa sama, KPDN turut berharap pengguna dapat salurkan maklumat sekiranya berlaku gangguan bekalan gula di mana-mana kawasan di seluruh Pulau Pinang supaya pengedaran dapat diselaraskan kepada kawasan berkenaan dengan segera,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya