MARAN: Cadangan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan pembantu guru sejak lima tahun lalu dipersoal dan disifatkan sebagai retorik yang hanya bertujuan menyedapkan hati golongan pendidik di seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pesara guru, Abdul Latif Umar, 61, berkata, cadangan pembantu guru disuarakan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik tetapi sehingga kini belum direalisasikan.
“Pelantikan guru bantu perlu disegerakan kerana dapat meringankan beban tugas guru sekali gus guru lebih fokus kepada tugas hakiki dalam mengajar dan proses pembinaan kemenjadian murid serta pelajar.
“Sebagai bekas guru dan merasai asam garam tugas guru di lapangan menyokong dan menyambut baik supaya jawatan itu diwujudkan kerajaan,” katanya di sini semalam.
Pada Mac lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan yang perlu digalas golongan itu ketika ini.
Hui Ying antara lain berkata, kerajaan juga melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan tahun ini.
Antara langkah berkenaan termasuk memansuhkan pertandingan, sambutan atau majlis pada semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid dan pelaksanaan penilaian kendiri sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2023 yang membabitkan guru kepada setahun sekali saja.
Abdul Latif juga menyarankan Kementerian Pendidikan memastikan setiap kelas terutama di sekolah menengah mempunyai peralatan paparan diod pemancar cahaya (LCD) bukan terhad di makmal sains dan komputer sahaja bagi kemudahan pedagogi guru.
Selain itu, beliau juga berharap Kementerian Pendidikan mengembalikan kuota pekerja pembersihan sekolah seperti sebelum 2018 kerana aspek keceriaan dapat meningkatkan ‘mood’ positif guru dan murid.
Seorang guru, Azman Omar Hashim, 50, berkata, guru bantu sudah lama ditunggu golongan itu kerana mereka sudah terbeban dengan kerja sampingan seperti perkeranian.
Beliau berkata, pembantu guru akan membantu guru menyelesaikan tugas perkeranian seperti memasukkan data, mengisi borang dan membuat salinan fotokopi soalan-soalan.
“Ini akan memberi peluang kepada guru untuk memberi tumpuan lebih kepada proses pedagogi pengajaran dan pembelajaran (PdP), menaksir dan melaksanakan program pemulihan semula pelajar,” katanya.
Seorang lagi guru, Normala Sulaiman, 45, pula menyifatkan tujuh langkah dikemukakan bagi mengurangkan beban tugas guru hanya penyelesaian bersifat sementara.
“Tiada lagi keseronokan dalam bidang pendidikan jika aktiviti berkaitan pertandingan, keceriaan, sukan dan permainan atau gerak kerja badan beruniform dimansuhkan,” katanya. – UTUSAN










