Peluang tunai haji ‘dekatkan’ Roslani dengan arwah suami

Peluang tunai haji ‘dekatkan’ Roslani dengan arwah suami

ROSLANI Mohd. Razali tidak dapat menahan sebak kerana tidak dapat mengerjakan haji bersama suaminya yang meninggal dunia ketika mengerjakan umrah bersama keluarga tahun lalu. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang ibu tunggal sebak mengenangkan dirinya tidak dapat mengerjakan ibadah haji bersama suaminya yang meninggal dunia ketika menunaikan umrah tahun lalu.

Namun pemergian Roslani Mohd. Razali, 57, kali ini memberi peluang buatnya untuk berada lebih dekat dengan arwah suaminya, Baharom Alwi, 57, yang dikebumikan di tanah perkuburan Al-Sharaa’ik, Mekah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Roslani berkata, meskipun tidak dapat memasuki kawasan tanah perkuburan yang hanya dibenarkan untuk lelaki, namun hatinya sedikit terubat dapat menziarahi pusara arwah suaminya dengan lebih dekat.

“Sebelum ini saya cuma sampaikan pesan kepada rakan untuk singgah di kubur arwah jika mereka ke sana.

“Kali ini, peluang saya mengerjakan haji ini dapatlah saya berada lebih dekat dengan pusara arwah walaupun hanya dari luar,” katanya di sini semalam.

Roslani berkata, arwah suaminya menghembuskan nafas terakhir pada 19 Mei tahun lalu secara tiba-tiba ketika dalam tidur.

“Ketika itu kami sekeluarga, saya, arwah suami dan empat anak kami sama-sama mengerjakan umrah.

“Arwah tidak mempunyai sebarang penyakit dan ketika itu arwah cuma ada batuk. Mungkin sudah ajal. Kami sekeluarga terima dengan reda,” katanya.

Namun kata ibu tunggal itu, dia sebak apabila mengenangkan hasrat untuk mengerjakan haji bersama arwah suaminya tidak kesampaian.

“Kami sama-sama mendaftar untuk mengerjakan haji. Ketika terima panggilan pada Mac lalu, saya rasa sebak sebab terpaksa pergi seorang diri tanpa suami di sisi,” katanya.

Pesara guru dari Rompin ini berharap pemergiannya ke tanah suci kali ini dapat ditemani anak keduanya, Rafidatul Izzah Baharom, 27.

“Saya sudah pun menghantar rayuan untuk anak saya ini menjadi pengiring di sana. Jika anak ada bersama, saya rasa lebih kuat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×