Pelaburan ‘patuh syariah’ kaut RM900 juta - Utusan Malaysia

Pelaburan ‘patuh syariah’ kaut RM900 juta

WAKIL Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerahkan aduan berhubung syarikat pelaburan patuh syariah yang menipu hampir 400 mangsa. - UTUSAN/FITRI NIZAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dianggarkan hampir 400 individu ‘berputih mata’ dengan anggaran kerugian sebanyak RM900 juta selepas mendakwa menjadi mangsa syarikat pelaburan saham yang kononnya menjalankan saham boleh tebus patuh syariah.

Modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menjanjikan pulangan dividen secara bulanan sebanyak tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan dibuat mangsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, terdapat dua sindiket yang dikenal pasti memperdaya mangsa dalam kes tersebut.

Menurutnya, satu daripadanya sudah beroperasi sejak lima tahun lalu manakala sebuah lagi mula aktif pada 2021.

“Antara modus operandi syarikat pelaburan saham ini adalah menggunakan nama syarikat ‘Berhad’, yang difahami masyarakat negara ini sebagai sebuah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham di Malaysia.

“Malah syarikat sama juga mengguna pakai nama Suruhanjaya Sekuriti atau ‘SC’ untuk lebih meyakinkan pelabur menyertai skim ditawarkan.

“Apa yang menimbulkan tanda tanya adalah bagaimana syarikat tersebut peroleh sijil patuh syariah tulen bagi memperdaya mangsa,” katanya ketika menyerahkan aduan kepada wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung aktiviti pelaburan syarikat tersebut hari ini.

Hishamuddin berkata, syarikat itu turut dikesan menggunakan nama-nama besar seperti bekas pegawai tinggi kerajaan dan individu yang mempunyai gelaran serta berpangkat untuk meyakinkan mangsa.

“Apa yang menyedihkan kebanyakan mangsa-mangsa ini membuat pelaburan minimum antara RM200,000 hingga RM250,000 di mana mereka dijanjikan dividen pada setiap bulan dan pelaburan mereka akan dikembalikan dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, mangsa adalah terdiri daripada pesara kerajaan yang menggunakan wang persaraan untuk melabur, individu yang terpaksa menggadaikan rumah serta mereka yang menggunakan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Justeru, MHO menghantar aduan rasmi kepada SSM bagi membolehkan agensi tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan berdasarkan Seksyen 3(1) Akta Kepentingan 2016.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat berkenaan supaya tiada lagi individu boleh menjadi mangsa mereka,” katanya.

Difahamkan, laporan polis juga sudah dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut dan semua mangsa terlibat namun kes diklasifikasikan sebagai rujuk agensi lain (ROA).

Sementara itu, seorang mangsa, S. Azlan Selamat, 56, berkata, dia tahu mengenai pelaburan tersebut selepas diperkenalkan oleh seorang pengurus bank yang dikenalinya sekitar bulan November tahun lalu.

“Dia mendakwa sudah lagi awal menyertai pelaburan tersebut dan mendapat pulangan dividen sebanyak 3.1 peratus daripada modal setiap bulan.

“Memandangkan kenal dia sudah lama dan individu sama juga adalah penasihat kewangan saya, jadi saya mengambil keputusan untuk menyertai pelaburan tersebut dengan melabur sebanyak RM500,000 daripada wang simpanan,” katanya.

Beliau berkata, untuk lima bulan pertama melabur, dia memperoleh pulangan sebanyak RM16,500 sebulan namun semuanya bertukar ‘mimpi ngeri’ apabila wang dividen langsung tidak diterima pada bulan keenam.

“Pada mulanya, pengurus bank yang memperkenalkan pelaburan tersebut memberikan alasan bahawa syarikat sedang diaudit, jadi dividen bulanan akan masuk lebih lewat daripada biasa.

“Bagaimanapun, wang simpanan selama lebih enam tahun berniaga itu lesap selepas tiada langsung khabar berita mengenai deviden bulanan yang sepatutnya diperoleh dan rakan saya itu juga tak dapat dihubungi lagi,” katanya.

Azlan yang menetap di Johor Bharu itu berkata, dia amat berharap sekiranya SSM dapat mengambil tindakan dengan membekukan kewangan syarikat tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya