PONTIAN: Seorang pekebun kelapa sawit menjadikan amalan menabung sejak lebih 15 tahun lalu dan sentiasa berjimat cermat dalam perbelanjaan harian bagi memastikannya dapat menunaikan ibadah haji.
Hasilnya, Bariman Ahmad, 59 dan isteri, Nasiah Ngadiman, 52, bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebagai tetamu Allah pada tahun ini.
Bariman berkata, hasil pendapatan bulanan daripada tanaman kelapa sawit seluas kira-kira lapan hektar akan dipastikan sebahagiannya disimpan di Lembaga Tabung Haji selain perbelanjaan harian untuk keluarga dan sebagainya.
“Alhamdulillah, hasil berjimat cermat dan menabung, saya dan isteri telah diberikan peluang menjadi sebahagian daripada 31,600 jemaah haji pada tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Mastar, Benut, dekat sini.
Dia berhasrat untuk membawa kedua-dua isterinya untuk menunaikan haji pada kali ini, namun tidak kesampaian kerana isteri kedua sedang mengandung anak kedua mereka.
“Kalau boleh saya ingin membawa isteri pertama dan kedua menunaikan haji serentak, tetapi disebabkan faktor kesihatan hajat tersebut saya tangguhhkan dahulu,” katanya.
Hasil perkahwinan dengan isteri pertama, mereka dikurniakan lima cahaya mata, namun anak sulungnya berusia 26 tahun meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.
Perkahwinan dengan isteri kedua, Nurul Faezah Mohd. Faizal, 27, pada 2019 telah dikurniakan seorang anak dan kini sedang menanti anak kedua mereka.
Bariman mengakui tawaran menunaikan haji yang diterima menerusi e-mel dan WhatsApp selepas sambutan Aidilfitri lalu memberikan keterujaan dan kesyukuran setelah menanti selama 15 tahun untuk menjadi tetamu Allah.
Bariman dan isteri dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 4 Jun ini dan berdoa semoga ibadah mereka dipermudahkan dan mendapat haji mabrur. – UTUSAN










