Peguam Negara anggap penjelasan PM 'jawapan politik'

Isu kalimah Allah: Takiyuddin dakwa, Peguam Negara anggap penjelasan PM ‘jawapan politik’

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas mendakwa penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu kalimah Allah yang diguna penganut agama Kristian, selepas kerajaan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut agama itu boleh menggunakan kalimah itu sebagai ‘jawapan politik’ oleh Peguam Negara. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sendiri bercakap kepadanya secara langsung ketika terserempak di Dewan Rakyat hari ini. 

Ahli Parlimen Kota Bharu itu terdahulu bertanya mengenai status penarikan rayuan kerajaan mengenai isu kalimah Allah dan berkata, Idrus perlu menunggu ‘jawapan politik’ dari kerajaan. 

“Kita tidak dengar kenyataan daripada Peguam Negara lagi, itu kita serah kepada Peguam Negara menjawab perkara ini. Tetapi, saya kebetulan tadi keluar dari Dewan, saya berjumpa dengan Peguam Negara. 

“Ini kenyataan saya dan saya tanya, macam mana Tan Sri? (penjelasan berhubung penarikan rayuan). Dia (Idrus) kata, kita dengarlah jawapan politik. Ini apa yang keluar daripada mulut Peguam Negara.

“Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini. Saya ada saksi pun yang keluar bersama saya tadi. Dia (Idris) kata datang dengar jawapan politik,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen hari ini.

Tidak dapat dipastikan jika Idrus menjawab soalan Takiyuddin dalam nada berseloroh. 

Pagi tadi, Anwar menjelaskan, cadangan bagi memperkemas peraturan berhubung penggunaan kalimah Allah akan dibentang pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai ini.

Katanya, kerajaan juga akan merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi tujuan itu.

Anwar turut menyangkal dakwaan bahawa keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes kalimah ‘Allah’ di mahkamah tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi melalui keputusannya menyatakan bahawa wanita dari Sarawak, Jill Ireland, boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi tujuan pendidikan agama dalam bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, bahasa Melanau.

Minggu lalu, kerajaan memutuskan untuk menghentikan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya