PETALING JAYA: Jaguh muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib sedia menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao bagi perebutan gelaran Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, hari ini.
Petarung berusia 22 tahun itu menganggap pertarungan menentang bekas juara dunia dua divisyen ONE Championship itu sebagai peluang terbaik untuk membuktikan kemampuannya, selain menghadiahkan kejuaraan dunia pertama ONE Championship buat Malaysia.
Aliff berkata, setiap aksi yang dilaluinya menjadikan dirinya semakin matang dan lebih bersedia menghadapi cabaran lebih besar, termasuk menentang antara nama paling disegani dalam dunia muay thai.
“Setiap kali saya masuk gelanggang, saya menjadi petarung yang lebih baik. Dalam pertarungan terakhir menentang Ramadan Ondash, fokus saya hanya satu iaitu menang kerana sasaran saya memang mahu merebut gelaran dunia.
“Apabila mendapat peluang menentang Sam-A, saya benar-benar teruja. Dia seorang petarung yang sangat hebat dan itu memberikan saya motivasi tambahan untuk berlatih lebih keras. Sam-A memang hebat, tetapi sekarang ini adalah era saya,” katanya.
Aliff membawa bekalan cukup meyakinkan ke Bangkok apabila merekodkan 62 kemenangan dan hanya sembilan kekalahan sepanjang karier profesionalnya, selain sedang menikmati rentak cemerlang dengan lima kemenangan berturut-turut sejak menyertai ONE Championship pada April 2023.
Bagaimanapun, Aliff enggan menjadikan faktor usia sebagai ukuran mudah untuk menewaskan Sam-A yang kini berusia 42 tahun dan memiliki pengalaman lebih 20 tahun di pentas profesional.
Katanya, reputasi serta kemampuan Sam-A kekal berada pada tahap tertinggi dan itu membuktikan legenda Thailand berkenaan masih memiliki kualiti luar biasa untuk mencabar mana-mana petarung.
“Ramai melihat ini sebagai pertarungan antara usia muda dan pengalaman, tetapi saya tidak akan sesekali memandang rendah Sam-A. Ramai petarung tewas kerana menganggap faktor usia akan melemahkannya.
“Kalau dia bukan seorang petarung yang luar biasa, sudah tentu dia tidak akan masih bersaing di tahap tertinggi pada usia 42 tahun,” katanya. – UTUSAN










