PETALING JAYA: Petarung muay thai negara, Mohd Rifdean Masdor memasang misi besar untuk meranapkan rekod tanpa kalah jaguh Jepun, Nadaka Yoshinari, sekali gus merampas gelaran dunia ONE Championship dalam pertarungan utama ONE SAMURAI 4, Sabtu ini.
Dikenali sebagai Magic Boy, Rifdean bakal berdepan juara dunia atomweight itu di Ariake Arena, Tokyo, dengan peluang mencipta sejarah sebagai petarung pertama menewaskan Nadaka menjadi pembakar semangatnya.
Lebih empat tahun mengikuti perkembangan lawannya itu, Rifdean menganggap pertemuan berkenaan sebagai peluang yang dinanti-nantikan, apatah lagi selepas mengumpul tujuh kemenangan dalam ONE Championship.
“Selepas tujuh kemenangan dalam ONE Championship, saya bersedia bertarung dengan Nadaka.
“Pertarungan ini sangat besar kerana Nadaka masih belum pernah kalah, tetapi saya akan memastikan dia tewas.
“Saya akan mencipta sejarah dan menjadi orang pertama yang menewaskannya,” katanya dalam pra perlawanan.
Keyakinan petarung negara itu turut disandarkan kepada prestasi semasa apabila merekodkan lima kemenangan berturut-turut, termasuk menumbangkan Javad Mozafari menerusi kemenangan kalah mati hanya dalam 94 saat.
Kemenangan pantas itu membolehkannya meraih kontrak AS$100,000 (RM420,000) untuk menyertai barisan utama ONE, namun cabaran menentang Nadaka dijangka menjadi ujian paling getir buat Rifdean setakat ini.
Nadaka hadir dengan rekod enam kemenangan dalam ONE Championship serta rentetan 42 kemenangan berturut-turut sepanjang kariernya, menjadikan petarung Jepun itu ancaman besar buat wakil negara.
Menyedari lawannya memiliki kelebihan dari segi kepantasan, kekuatan dan kebijaksanaan taktikal, Rifdean tetap percaya kuasa serangan yang dimilikinya mampu membuka ruang untuk mencipta kejutan.
Bagaimanapun, Magic Boy sedar dia perlu bijak mengatur strategi dan memilih waktu sesuai untuk melepaskan serangan, bukannya bergantung kepada kekuatan semata-mata.
“Saya percaya boleh menewaskannya dengan kekuatan itu, cuma saya tidak boleh menyerang menggunakan kuasa sepenuhnya sepanjang masa. Saya perlu tahu masa yang tepat,” katanya. – UTUSAN











