DOHA: Ketua baharu Hamas, Khalil al-Hayya menggariskan enam keutamaan pergerakan itu dengan meletakkan usaha menamatkan sepenuhnya serangan Israel di Gaza.
Beliau juga mahu pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah itu sebagai agenda paling utama.
Dalam ucapan sulungnya yang disiarkan menerusi televisyen sejak memegang jawatan itu, Khalil menggesa negara-negara pengantara rundingan gencatan senjata supaya memberi tekanan kepada kerajaan Israel agar melaksanakan perjanjian sedia ada dan meneruskan ke fasa rundingan seterusnya.
Beliau berkata, keutamaan kedua Hamas ialah memulihkan kehidupan rakyat Palestin di Gaza secara bermaruah, menggagalkan rancangan pemindahan penduduk, mempercepatkan usaha pembinaan semula dan memastikan pembebasan tahanan.
Keutamaan ketiga pula katanya, ialah mencapai perpaduan Palestin menerusi dialog nasional segera bagi membina semula institusi Palestin, khususnya Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), berasaskan prinsip demokrasi dan persefahaman bersama.
Khalil berkata, keutamaan keempat ialah memperkukuh hubungan Hamas dengan negara-negara Arab dan Islam.
Menurutnya, keutamaan kelima ialah menggerakkan negara Arab dan Islam supaya mengambil tindakan lebih berkesan. Negara-negara Arab dan Islam juga diminta meningkatkan tekanan bagi menghentikan apa yang disifatkannya sebagai jentera pembunuhan serta genosid Israel terhadap rakyat di Gaza, di samping mempertahankan hak rakyat Palestin.
Beliau berkata, keutamaan keenam ialah menggesa masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melindungi rakyat Palestin serta memastikan pihak yang disifatkannya sebagai penjenayah perang Israel dipertanggungjawabkan.
Pada Isnin, Hamas mengumumkan pelantikan Khalil sebagai ketua biro politik pergerakan itu bagi menggantikan Yahya Sinwar, yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel di Rafah, selatan Gaza pada Oktober 2024.
Hamas, pada awal bulan ini mengumumkan pembubaran badan yang mentadbir Semenanjung Gaza selama hampir dua dekad, sekali gus membuka jalan kepada sebuah jawatankuasa teknokrat untuk mentadbir wilayah itu.
Langkah itu menandakan perubahan politik yang besar bagi Hamas, yang mentadbir Gaza sejak ia mengambil alih kawalan daripada pergerakan Palestin yang menjadi pesaingnya, Fatah, pada 2007 selepas memenangi pilihan raya perundangan pada tahun sebelumnya.
Sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuatkuasa di Gaza pada Oktober tahun lalu, kumpulan itu berulang kali menyatakan kesediaannya untuk berundur daripada urusan pentadbiran harian.
Namun, isu rumit berkaitan pelucutan senjata Hamas masih belum diselesaikan.
Tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 73,000 orang, mencederakan hampir 174,000 lagi dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu sebelum tercapainya gencatan senjata. – AGENSI










