PETALING JAYA: Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terus menjadi persoalan apabila salah satu komponennya iaitu Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) terutama melibatkan elemen sukan sukar dilaksanakan ekoran cuaca panas melampau ketika ini.
Ia susulan kesemua institusi pendidikan bawah Kementerian Pelajaran sebelum ini diminta menangguhkan terlebih dahulu aktiviti luar melibatkan pelajar, guru dan pensyarah berikutan faktor cuaca yang sedang melanda negara.
Justeru, bagaimana penilaian PAJSK dapat dibuat jika murid-murid tidak dapat melakukan aktiviti-aktiviti tersebut kerana sebahagian besar pentaksiran itu sudah tentu memerlukan murid berada di luar kelas.
Hakikatnya, selepas empat hari sekolah dibuka, Malaysia menyambut kedatangan Ramadan selama sebulan, disusuli cuti pertengahan penggal satu dari 21 April hingga 29 April dan kementerian menangguhkan aktiviti luar kelas selepas cuaca panas melampau melanda negara pada penghujung April.
Malah, sampai bila arahan itu berkuat kuasa masih menjadi persoalan memandangkan Malaysia dijangka mengalami fenomena El Nino yang boleh mengakibatkan kemarau kering sehingga September ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, persoalan itu merupakan satu perkara yang perlu diperhalusi kementerian untuk terus memperkasakan PBS dalam suasana cuaca panas melampau.
Katanya, ini kerana ia mungkin tidak adil jika ada sekolah yang terletak di kawasan yang lebih sejuk dan selesa dapat melaksanakan kegiatan luar itu berbanding sekolah yang berdepan dengan suhu panas.
“Jadi, itu perlu diperhalusi sebab pemarkahan standard perlu lebih adil dan saksama untuk menilai kriteria berkenaan.
“Misalnya kawasan di tanah tinggi, barangkali tidak mengalami suhu panas melampau dan saya percaya sekolah tersebut tidak ada halangan untuk kegiatan luar bilik darjah.
“Jadi bagi sekolah yang berhadapan suhu panas, tentu akan dihalang kegiatan luar melainkan ada garis panduan untuk menjalankan aktiviti itu di kawasan tertutup,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, semua pihak perlu kreatif dalam mencipta peluang untuk pelajar sama ada secara fizikal mahupun secara dalam talian.
Katanya, ia supaya potensi pelajar dapat dikembangkan, tidak semestinya dilakukan secara bersemuka di luar bilik darjah.
“Saya yakin guru, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan sentiasa kreatif untuk mencipta aktviti yang membolehkan pelajar kita melibatkan diri sama ada di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa,” ujarnya.
“Misalnya jika pertandingan kawad kaki, mungkin cerita dari segi teori dan buat rakaman kepada juri untuk menilai.
“Malah, salah satu elemen PAJSK ini adalah penglibatan dengan agensi sukarelawan luar, jadi mungkin sediakan satu platform supaya anak-anak ini dapat kongsikan tentang kesan banjir atau strok haba,” katanya.
Beliau menambah, jika dibuat kawasan tertutup pun, ia tidak beri kesan sangat kepada pemerkasaan PBS kerana boleh melihat dari aspek kecerdasan pelajar itu.
“Jadi, ibu bapa boleh tahu tahap kecerdasan anak-anak, baru boleh buat intervensi dan dapatkan khidmat nasihat seterusnya di fasiliti kesihatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berpandangan, beliau yakin penangguhan aktiviti luar bilik darjah itu cuma bersifat sementara sehingga keadaan kembali pulih.
“Jadi, apabila keadaan kembali pulih, maka tetap boleh teruskan penilaian PAJSK. Oleh itu, ibu bapa, guru dan pelajar tidak perlu bimbang kerana cuaca tidak menentu ini difahamkan hanya buat sementara waktu,” katanya. – UTUSAN










