Op Hire 2.0: Tiga individu dari dua syarikat direman SPRM di Selangor - Utusan Malaysia

Op Hire 2.0: Tiga individu dari dua syarikat direman SPRM di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga individu dari dua syarikat berbeza direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja secara dalam talian yang mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM1,000,000 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dibawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA 2.0).

Suspek lelaki berusia antara 40 hingga 61 tahun itu dipercayai ditahan di Pejabat SPRM Selangor lewat petang semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

Satu sumber berkata, dua suspek merupakan pengarah syarikat yang menjalankan perkhidmatan penghantaran manakala seorang lelaki berusia 61 tahun adalah pemilik syarikat kejuruteraan.

“Syarikat yang menjalankan perkhidmatan penghantaran ini dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM900,000 pada 2020 hingga tahun lalu.

“Syarikat kejuruteraan itu pula mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM140,000 pada 2021,” kata sumber itu.

Kesemua suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam pada pagi ini dan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan permohonan reman selama empat hari kepada dua suspek membabitkan syarikat yang menjalankan perkhidmatan penghantaran bermula hari ini sehingga 19 Mei ini.

Pemilik syarikat kejuruteraan itu pula direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 18 Mei ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishammuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN