Hormati keputusan Mohd. Puad - Ahmad Zahid

Hormati keputusan Mohd. Puad – Ahmad Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Majlis Perasmian Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa Kali ke-25 di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini. Gambar ISKANDAR ISHAK / Pemberita AINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO menghormati keputusan mana-mana individu termasuk bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Mohd. Puad Zarkashi untuk keluar parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 11 Julai ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan adalah hak individu, namun parti amat menghargai kesetiaan pemimpin lama dan baharu yang terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) Johor.

“Kita menghormati pendirian sesiapa sahaja daripada kalangan kepimpinan untuk mengambil sesuatu keputusan (keluar parti).

“Bagaimanapun, kita amat menghargai sokongan daripada mereka yang baharu dan yang lama yang terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Barisan Nasional Johor.

“Yang penting ialah memberikan sokongan kepada kesemua 56 calon Barisan Nasional bagi PRN Johor bakal diadakan pada 11 Julai nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa 2026 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Mengulas sama ada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Puad yang mendakwa UMNO Johor dipengaruhi pihak lain dalam beberapa keputusan politik, Pengerusi BN itu berkata, tiada keperluan untuk mengambil sebarang tindakan memandangkan Mohd. Puad telah mengambil keputusan meninggalkan parti.

“Beliau telah berhenti, jadi tidak perlu sebarang tindakan tertentu dilakukan. Beliau telah menawarkan diri untuk tidak bersama-sama dengan UMNO.

“Kira menghargai apa yang telah beliau sumbangkan kepada UMNO selama ini. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Dr. Fuad Zarkashi,” katanya.

Mohd. Puad dilapor mengumumkan meletak jawatan dan keluar daripada UMNO dengan mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan termasuk mendakwa UMNO Johor dipengaruhi pihak lain dalam beberapa keputusan politik.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut mendakwa UMNO Johor umpama boneka yang terikat.

Selain itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang Abdul Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN