PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yonnyboi memilih kumpulan Alpha untuk menyanyikan lagu ciptaannya, Dia, kerana menyifatkan identiti kumpulan itu paling layak dan sesuai membawakan lagi berkenaan.
Yonnyboi atau Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 28, berkata, keupayaan Alpha untuk menyelami bait-bait lirik yang ditulis menjadi faktor utama lagu tersebut diberikan kepada mereka walaupun lagu tersebut pada asalnya ditulis mengenai kisah anaknya.
“Sebab utama saya menyerahkan lagu ini adalah kerana mereka merupakan Alpha. Saya rasa mereka juga boleh merasai apa yang telah saya tuliskan di dalam lagu tersebut.
“Lagu ini bukan tentang anak semata-mata. Mungkin lagu ini ada kena mengena dengan kisah mereka masing-masing. Cerita itu boleh dikongsikan kepada peminat-peminat mereka melalui lagu ini,” katanya.
Yonnyboii berkongsi perkara berkenaan semasa sidang media Sempurna di Universal Music Malaysia, pada Khamis.
Mengakui amat menyayangi lagu tersebut, penyanyi lagu sakit ini bagaimanapun akur bahawa dia tidak dapat melancarkan lagu itu sendiri buat masa ini atas faktor lagu tersebut lebih sesuai dinyanyikan oleh penyanyi lain.
“Saya sebenarnya sangat menyayangi lagu tersebut. Cuma, saya rasa lebih sayang sekiranya saya tidak dapat melancarkan lagu itu pada waktu sekarang.
“Lagu ini mungkin tidak bersesuaian dengan saya. Jadi, ia adalah satu perkara yang baik apabila ada orang lain yang menyanyikannya agar mesej lagu ini lebih sampai. Saya harap peminat Alpha pun dapat rasa lagu ini,”katanya.










