PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencadangkan kenaikan harga lantai getah sekurang-kurangnya RM3 sekilogram dalam pembentangan bajet belanjawan pada 2024.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob berkata, kenaikan harga lantai getah yang diumum oleh kerajaan sebelum ini masih tidak dapat membantu mengurangkan kos sara hidup para penoreh.
Menurut beliau, ekoran dengan keadaan perubahan cuaca yang tidak menentu, ia juga menjadi halangan bagi para penoreh untuk menjana pendapatan.
“Jika dianggarkan dalam sebulan, pekebun getah menoreh sebanyak 20 hari dan pendapatan yang diperoleh ialah RM300, maka jumlah tersebut masih menunjukkan mereka masih berada dalam papa kemiskinan,”katanya kepada ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Tambahnya, terdapat pemilik kebun getah yang menggunakan tenaga kerja lain dengan mengupah pekerja bagi menoreh getah.
“Misalnya penoreh tersebut berjaya memperoleh getah yang ditoreh seberat 20 kilogram (kg), maka pendapatan yang diperoleh ialah sebanyak RM54 dan jumlah tersebut pasti akan dibahagi sama rata dengan pemilik tanah atau kebun tersebut,” jelasnya.
NAFAS berharap kenaikan agar harga lantai tersebut dapat sehingga dapat bertahan hingga ke hujung tahun ini dan berharap kerajaan dapat meningkatkan lagi pada tahun hadapan.
Utusan Malaysia pada Rabu melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tentang pelaksanaan harga lantai getah iaitu RM2.70 sekilogram seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini. – UTUSAN










