PUTRAJAYA: Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) menyasarkan untuk menerima 10 penyertaan dari negara ASEAN menerusi penganjuran Malaysia Good Design Award (MGDA) 2023.
Pengarahnya, Husaini Ismail berkata, pada tahun lalu, dua penyertaan diterima oleh MRM dari Indonesia dan Kemboja yang menghantar produk mereka untuk dinilai bagi anugerah tersebut.
“Kita mengharapkan sekurang-kurangnya 10 penyertaan dari negara luar terutamanya ASEAN kerana sebelum ini kita buka untuk pereka dan syarikat tempatan sahaja, tetapi sekarang ini sudah sebaiknya kita bersaing dengan dunia luar.
“Kita buka pintu supaya wujud persaingan, jadi dari situ adanya benchmark yang kita harapkan daripada kolaborasi bersama negara luar.
“Pada masa sama, kita turut mengharapkan penyertaan dari syarikat-syarikat yang mempunyai produk ternama kerana perkara tersebut dapat menguatkan lagi (jenama) program ini di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan MGDA 2022 dan penyampaian Pensijilan Certified Industrial Designer (CIDe) di sini, semalam.
Pada majlis tersebut, sebanyak 30 produk daripada 18 buah syarikat layak menerima pengiktirafan MGDA 2022 yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak.
Selain itu, seramai 15 barisan pereka turut menerima pensijilan CIDe yang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 31 orang termasuk 16 penerima pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, Husaini berkata, produk yang diberi pengiktirafan logo MGDA mempunyai kelebihan serta nilai tambah yang tersendiri dari segi reka bentuk, kualiti dan fungsi kerana ia telah melalui penilaian oleh pakar-pakar pereka.
“Jumlah pereka yang berdaftar ketika ini adalah seramai 3,200 orang serta tenaga pakar CIDe seramai 31 orang, justeru MRM yakin dapat menerajui industri ini ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Isham menerusi ucapannya berharap supaya para pereka wanita di negara ini dapat bersama-sama mengambil peluang pada masa akan datang untuk menyertai kumpulan pereka pakar di bawah program CIDe.
“Cuma satu sahaja yang saya lihat kurang iaitu tiada pereka wanita, di manakah mereka? Adakah mereka tidak memohon atau pun mereka tidak berjaya untuk mencapai standard atau syarat yang ditetapkan?
“Jadi saya sarankan pereka wanita dapat mengambil peluang ini agar pada masa akan datang kita dapat meraikan mereka,” katanya.
MGDA merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap industri reka bentuk dalam usaha menyokong produk-produk yang mempunyai kualiti dalam aspek reka bentuk serta menjadikannya sebagai kriteria penting untuk amalan penghasilan sesebuah produk.
Pengiktirafan MGDA memberi peluang kepada 13 kategori reka bentuk antaranya merangkumi produk berasaskan ruang tamu dan bilik tidur; peralatan rumah, dapur dan bilik air; aktiviti masa lapang, hobi dan sukan; perdagangan dan pesta jualan; kraf; seni bina dan persekitaran; industri; kawasan umum dan kenderaan serta media dan barangan elektronik. – UTUSAN