Mesyuarat keselamatan PRN berlangsung minggu depan

Mesyuarat keselamatan PRN berlangsung minggu depan

HAZANI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perincian persiapan dan persediaan keselamatan berhubung pengendalian Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri akan ditentukan minggu depan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, mesyuarat mengenainya akan dipengerusikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kekuatan anggota dan pegawai akan dikekalkan sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Mungkin akan ada sedikit perubahan kerana ia hanya membabitkan enam negeri.

“Setakat ini, kami difahamkan sebanyak 3,200 pusat mengundi dan 17,000 saluran mengundi membabitkan enam negeri berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Kejohanan Tembak RMP Open Championship Level III di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, di sini hari ini.

Katanya, beliau juga sudah mengarahkan ketua polis negeri di enam negeri terbabit untuk mengguna pakai kekuatan anggota dan pegawai sedia ada.

Hazani yang juga Pengarah Operasi PDRM PRU15 yang lalu berkata, beliau yakin PRN kali ini berjalan lancar berdasarkan pengalaman mengendalikan PRU15 yang lalu.

“Saya tahu rakyat Malaysia cukup cerdik dan bijak serta takkan timbul kekecohan dan sebagainya nanti.

“PRU15 lalu berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak, malah rakyat Malaysia sudah cukup berdisiplin,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hazani berkata, pihaknya sentiasa memberi kerjasama penuh terhadap lain-lain agensi penguat kuasa khususnya dalam membanteras aktiviti rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota polis.

Menurutnya, pihaknya akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang termasuk rasuah.

“Kita akan mengambil tindakan ‘tahan kerja’ terhadap pegawai dan anggota yang terbabit dalam kesalahan itu.

“Tiada kompromi terhadap isu itu dan kami akan ambil tindakan sewajarnya. Malah, kita sentiasa memantau perkara itu dibantu pelbagai agensi lain,” katanya yang menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya