MB Perlis imbau kenangan sebagai guru - Utusan Malaysia

MB Perlis imbau kenangan sebagai guru

MENTERI Besar, Mohd. Shukri Ramli yang pernah bergelar guru hampir 30 tahun mengimbau kenangan mengajar dan bersama murid-murid sempena Hari Guru di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Arau, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Setiap kali Hari Guru, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli pastinya terkenang pelbagai kenangan manis sepanjang menjadi pendidik hampir 30 tahun.

Dalam tempoh tersebut, banyak pengalaman manis dan pahit termasuk berdepan kekangan apabila bergiat aktif di dalam Pas sebagai parti pembangkang sebelum ini, namun ia langsung tidak mematahkan semangat Mohd. Shukri dalam mendidik anak bangsa.

Mohd. Shukri memulakan tugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Beraya, Miri, Sarawak (1985-1987), SK Pulo, Kuching (1988-1989), SK Padang Keria (1990-1997), SK Dato Wan Ahmad (1997-2000), SK Felda Mata Ayer (2000), SK Sanglang (2001-2011) dan SK Sungai Baru (2011-2013).

Mengimbau kenangan sebagai guru, Mohd. Shukri ketika bercakap kepada Utusan Malaysia berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah semasa mengajar di sekolah pertama di kawasan pedalaman di Miri apabila dia perlu menempuh perjalanan sekurang-kurangnya tiga sungai untuk ke bandar.

Bagaimanapun katanya, apa yang membuatkan beliau tersentuh apabila penduduk kampung di situ sentiasa ada untuk membantu dan hubungan baik itu kekal sehingga kini di mana mereka selalu datang mengunjunginya di Perlis selain beliau juga kadangkala melawat mereka.

Katanya, hubungan kekeluargaan itu kekal sehingga kini dan beliau tidak pernah rasa tersisih sepanjang berada di kawasan pendalaman itu sebagai seorang guru.

“Selain itu, apa yang membuatkan saya seronok sebagai seorang guru ini juga apabila kita mempunyai ramai kenalan termasuk bekas-bekas anak murid yang sentiasa ingat kita meskipun ke mana saja saya pergi,” katanya.

Sementara itu, kata Pesuruhjaya Pas negeri itu, semasa bergelar seorang guru beliau yang sudah terlibat bersama Pas pada masa itu, sudah tentunya banyak kekangan dan tekanan diterima.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap mengikut peraturan di mana kerja-kerja parti itu hanya dilakukan di luar waktu persekolahan.

“Adalah tekanan-tekanan daripada pihak atas namun saya tetap berkawan dan mempunyai hubungan baik dengan semua orang tanpa mengira fahaman politik pada masa itu dan hubungan tersebut juga sentiasa kekal baik sehingga kini,” katanya.

Mohd. Shukri menasihatkan mereka yang menceburi bidang perguruan ini supaya mendidik anak bangsa dengan seikhlas hati bukan sekadar tuntutan kerja semata-mata.

MENTERI Besar, Mohd. Shukri Ramli yang pernah bergelar guru hampir 30 tahun mengimbau kenangan mengajar dan bersama murid-murid sempena Hari Guru di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Arau, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

“Menjadi seorang guru adalah amanah dan tanggungjawab yang cukup besar dan ia bukan sekadar profesion semata-mata. Jadi teruslah mendidik anak-anak ini,” katanya yang mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada seluruh pendidik.

Jawatan terakhir Mohd Shukri ialah Penolong Kanan Kokurikulum di SK Sungai Baru sebelum bersara awal pada usia 52 tahun, pada 2013 untuk menjadi calon Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Tidak sempat menjadi Guru Besar semasa berada dalam sektor pendidikan itu, takdir menentukan Mohd. Shukri terus menjadi Menteri Besar selepas Perikatan Nasional (PN) menang dalam PRU15, November tahun lalu.

Beliau yang merupakan bekas guru mata pelajaran Matematik dan Kemahiran Hidup bergelar pendidik sejak 1985 sehingga 2013 iaitu hampir 30 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya