KUCHING: Sarawak sedang mengkaji kemungkinan untuk menerokai manfaat spesies spirulina sebagai kegunaan perubatan pada masa hadapan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata mikroalga yang juga merupakan spesies spirulina didapati menawar beberapa manfaat untuk pembangunan produk yang inovatif dan mampan dalam industri makanan.
“Justeru itu, kita akan meneruskan penyelidikan tentang mikroalga terhadap faedah pemakanan dan perubatan bagi manfaat negeri ini.
“Pada masa yang sama manfaatnya juga padat dengan nutrien penting seperti termasuk vitamin, mineral dan antioksidan, menjadikannya makanan tambahan berkhasiat bagi individu yang memerlukan nutrien tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Pada masa yang sama Abang Johari turut mendedahkan spirulina mempunyai ciri antibakteria dan antivirus yang boleh membantu dalam memerangi penyakit berjangkit.
“Selain itu, alga boleh digunakan untuk mengurangkan keradangan, menyahtoksik badan, meningkatkan sistem imun, dan juga membantu dalam penurunan berat badan,” tambahnya.
Dedah Abang Johari, Sarawak turut telah mengambil langkah progresif untuk meneroka mikroalga sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi.
“Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) serta Chitose Laboratory dan ENEOS Corp dari Jepun telah menubuhkan kemudahan pengeluaran biojisim mikroalga terbesar di dunia, Chitose Carbon Capture Central (C4), seluas kira-kira lima hektar di Sejingkat, Kuching.
“Justeru itu, saya percaya mikroalga atau lumut adalah tanaman perindustrian yang boleh membantu mengembangkan ekonomi kita dan berfungsi sebagai model untuk mencapai aspirasi negeri Sarawak sambil memelihara alam sekitar kita,” katanya.
Abang Johari tidak menafikan ia akan berfungsi sebagai sebahagian daripada usaha pelepasan sifar bersih dengan jangkaan 700 tan CO2 boleh diserap oleh biojisim alga.
Justeru itu, Abang Johari yakin kemudahan itu nanti akan menghasilkan sekitar 350 tan biojisim alga setiap tahun, yang akan diubah menjadi produk berkualiti tinggi seperti makanan dan makanan, kosmetik, dan bahan farmaseutikal.- utusan