Malaysia, Sheikh Khaled bincang penyelesaian 1MDB - Utusan Malaysia

Malaysia, Sheikh Khaled bincang penyelesaian 1MDB

ANWAR Ibrahim menjawab soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. – UTUSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus berbincang dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia bertindak sebagai dasar baharu dan drastik yang dilaksana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak menerajui Kerajaan Persekutuan bagi me­lonjakkan ekonomi negara.

Menteri Kewangan itu berkata, perbincangan berkenaan akan diadakan sempena lawatan khas empat hari Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi itu ke negara ini sehingga esok.

“Penyelesaian 1MDB dengan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) membabitkan hasil tambahan kepada negara AS$1.8 bilion (RM8.05 bilion) dan semua tahu Putera Mahkota hadir ke negara ini untuk meneruskan langkah perbincangan.

“Ini termasuk soal pela­buran,” katanya di Dewan Rak­yat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang mahu mengetahui dasar baharu dan drastik yang sudah dilaksana sejak mentadbir negara, bagi melonjakkan ekonomi mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.

Sheikh Khaled dijadual me­lakukan kunjungan hormat ke atas Anwar serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama me­rangkumi hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa semasa pertemuan itu.

Sebelum ini, dua firma pelaburan Abu Dhabi, (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewa­ngan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB.
Dalam pada itu katanya, sebanyak RM71.4 bilion iaitu pe­ningkatan 60 peratus daripada suku pertama 2022 iaitu RM44.7 bilion pelaburan telah diluluskan kerajaan.

Katanya, perbelanjaan kerajaan bagi suku pertama tahun ini adalah RM93.3 bilion, iaitu 24 peratus peruntukan tahunan dan 7.5 peratus lebih tinggi daripada suku pertama 2022 (RM86.7 bilion).

Jelasnya, keyakinan kepada pengurusan ekonomi kerajaan terbukti dengan agensi penarafan kredit Fitch Ratings pada Februari dan Moody’s pada April lalu mengekalkan penarafan kredit Malaysia.

“Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2023, lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia (lima peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

“Pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini lebih kukuh daripada unjuran Bank Negara Malaysia untuk 2023 antara empat hingga lima peratus.

“Kadar pengangguran 3.5 peratus dicatat bagi suku pertama 2023, iaitu meneruskan trend penurunan daripada 3.6 peratus yang dicatat pada suku keempat 2022,” katanya.

Menjawab dakwaan pembangkang bahawa dasar ekonomi dibawa kerajaan ketika ini sebagai bercelaru, katanya, ia mustahil berlaku kerana pertumbuhan ekonomi negara bagi suku pertama menunjukkan prestasi kukuh manakala pelaburan besar dan bernilai tinggi terus bertambah.

“Kalau dasar celaru, pertumbuhan (ekonomi pada suku pertama 2023) tidak akan dapat mengatasi Indonesia, Vietnam dan China, tak mungkin pelaburan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya