Universiti AS digegarkan dengan protes besar-besaran anti-Israel

Universiti AS digegarkan dengan protes besar-besaran anti-Israel

POLIS mengawasi protes perang di Gaza di Universiti Texas di Austin, kelmarin. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUSTIN: Protes pencerobohan Gaza yang ‘menggegarkan’ beberapa universiti di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan semakin tegang dan merebak ke lebih banyak kampus.

Malah, situasi itu mencetuskan cadangan daripada seorang pe­mimpin kanan Republikan supaya Pengawal Kebangsaan AS perlu segera campur tangan.

Speaker Dewan Rakyat AS, Mike Johnson memberitahu, keadaan ini berkemungkinan membangkitkan semula emosi yang kuat di negara itu di mana pembunuhan pada 1970 pernah dilakukan oleh Pengawal Kebangsaan AS terhadap pelajar tidak bersenjata yang memprotes perang Vietnam.

PERLU CAMPUR TANGAN

Johnson memberitahu wartawan di Universiti Columbia bahawa jika demonstrasi tidak diben­dung dengan cepat, ia akan merebak.

Beliau berhasrat untuk me­nuntut Presiden AS, Joe Biden mengambil tindakan dan memberi amaran terhadap demonstrasi yang meletakkan sasaran kepada pelajar Yahudi di AS.

Terbaru, demonstrasi tunjuk perasaan tercetus di Universiti California Selatan semalam dan di Texas di mana perselisihan tegang berlaku antara mahasiswa dan polis dengan lebih daripada 20 orang ditahan.

Ia adalah konfrontasi terbaru antara penguat kuasa undang-undang dan mahasiswa yang marah dengan jumlah kematian yang semakin meningkat dalam perang Israel terhadap Hamas.

BERMULA DI UNIVERSITI COLUMBIA

Tunjuk perasaan dikatakan bermula di Universiti Columbia di New York di mana berpuluh-puluh tangkapan dibuat minggu lalu selepas pihak berkuasa universiti memanggil polis untuk meredakan demonstrasi.

Demonstrasi berkenaan dikatakan oleh pelajar Yahudi sebagai mengancam kepada mereka dan menyifatkannya sebagai antisemitik.

Dalam pada itu, Jurucakap White House, Karine Jean-Pierre berkata, Biden menyokong kebebasan bersuara.

“Presiden percaya bahawa kebebasan bersuara, perdebatan dan tanpa diskriminasi di kampus kolej adalah penting,” katanya kepada pemberita.

Sekutu AS, Israel melancarkan perangnya di Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang menyebabkan kira-kira 1,170 orang terbunuh, menurut pengiraan AFP mengenai angka rasmi Israel.

Penunjuk perasaan berkata, mereka menyatakan solidariti de­ngan rakyat Palestin di Gaza di mana angka kematian melebihi 34,200, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas dan menyeru Universiti Columbia dan universiti lain untuk membebaskan diri daripada syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Penunjuk perasaan termasuk sebilangan pelajar Yahudi yang menyertai tunjuk perasaan di kampus-kampus terlibat menafikan berlakunya keganasan, ugutan, cacian atau antisemitisme terhadap mereka.

Namun, terdapat penyokong pro-Israel dan yang lain bimbang tentang keselamatan mereka dan berhujah bahawa kampus menggalakkan ugutan dan ucapan kebencian.

KERAH REDA RUSUHAN

Polis berkata mereka menahan lebih 20 orang dengan gabenor negeri, Greg Abbott menggesa hukuman perlu dibuat segera.

“Penunjuk perasaan ini perlu berada dalam penjara.

“Pelajar yang menyertai protes antisemitik yang penuh kebencian di mana-mana kolej atau universiti awam di Texas harus dibuang,” tulis Abbot dalam media sosial.

Polis berada di tempat kejadian di Los Angeles selepas ratusan pelajar melakukan demonstrasi di kampus Universiti California Selatan.

Pelajar melaungkan “Bebaskan Palestin” serta slogan kontroversi “Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas,” yang ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai menyeru kemusnahan negara Israel.

“Kami semua hanya cuba menyokong saudara dan saudari kami di Palestin yang tidak mempu­nyai suara sekarang,” kata pelajar biologi, Yaseen El-Magharbel kepada AFP.

Mahasiswa lain yang melancarkan protes termasuk Yale, Massachusetts Institute of Technoogy (MIT), Universiti California (UC) Berkeley, Universiti Michigan dan Brown.

MAHASISWA DITANGKAP

Lebih 130 orang ditangkap dalam protes pro-Palestin di Universiti New York pada malam Isnin lalu dan polis di Universiti Minnesota dilaporkan menahan sembilan orang di sebuah perkhemahan.

NBC melaporkan bahawa FBI kini sedang menyelaras dengan universiti berhubung ancaman ugutan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN