Makmal proses dadah digempur, 2,700 pil ekstasi antara dirampas - Utusan Malaysia

Makmal proses dadah digempur, 2,700 pil ekstasi antara dirampas

Makmal dadah ekstasi
CHA Hoong Fong (tengah) menunjukkan bungkusan dadah diproses dalam sebuah rumah yang dijadikan makmal proses dadah, pada sidang akhbar di IPD Klang Selatan, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis merampas dadah jenis ekstasi yang terdiri daripada 2,700 pil serta lebih 120 paket dan bungkusan serbuk termasuk sepaket ketamin bernilai RM180,000 dalam satu serbuan terhadap sebuah rumah dekat Pandamaran, di sini.

Dalam serbuan pada 24 Mei lalu itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun berada dalam rumah yang dijadikan makmal proses dadah tersebut, dipercayai beroperasi sejak tahun 2020.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, kira-kira pukul 6.30 petang.

“Makmal tersebut mampu menghasilkan 1,000 peket ekstasi dan ketamin dalam tempoh seminggu. Dadah itu dipercayai dihasilkan menggunakan mesin khas sebelum dibungkus dalam peket jus minuman yang mempunyai perisa seperti anggur, mangga dan jambu.

“Sebungkus dadah ini dijual dengan harga RM200 sepeket dan kita percaya, dadah ini bukan sahaja dijual di daerah Klang, tetapi dijual di luar daerah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, ujian saringan air kencing terhadap suspek yang ditahan didapati positif Benzodiazepin.

Justeru, suspek direman selama enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Hoong Fong memaklumkan sebanyak 12 buah rumah rudi di sekitar daerah ini dipotong bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara berperingkat mulai hari ini.

Menurutnya tindakan pemotongan bekalan itu dijalankan sehingga Jumaat ini mengikut peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya