LIMA '23: Pengunjung beratur seawal 6.45 pagi

LIMA ’23: Pengunjung beratur seawal 6.45 pagi

ORANG ramai beratur panjang seawal pukul 6.45 pagi bagi menyaksikan Pameran LIMA '23 yang dibuka kepada orang awam bermula semalam di MIEC di Langkawi, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Selepas kali terakhir Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) diadakan pada 2019, para pengunjung sanggup menunggu seawal pukul 6.45 pagi untuk melihat pertunjukan aerobatik dan pameran aset ketenteraan serta komersial.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini mendapati, pengunjung hanya dibenarkan masuk untuk melihat pameran dan persembahan udara pada pukul 10 pagi.

Antara pengunjung pertama yang beratur sebelum pagar dibuka, Mohd. Zuhair Mohammad Yusof, 32, berkata, dia datang lebih awal berbanding polis bantuan yang mengawal dewan MIEC kerana terlalu teruja.

“Ini adalah kali pertama melihat LIMA, jadi saya datang awal bagi membolehkan mendapat pengalaman terbaik.

“Saya sudah merancang nak melihat pertunjukan udara pada pukul 10 pagi dan masuk ke dewan pameran sementara menunggu untuk melihat persembahan seterusnya pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui.

Pelancong dari Belanda, Jannie Bink, 52, yang datang bersama suaminya berkata, mereka melihat pertunjukan udara secara lebih dekat di kawasan landasan terbang berbanding berada di tepi jalan berdekatan MIEC.

“Kami sudah berada di Langkawi sejak tiga bulan lepas dan apabila pameran ini dibuka kepada orang awam, kami beratur awal untuk membeli tiket masuk.

“Pada saya, semua pasukan memberikan persembahan yang baik termasuk pasukan Jupiter dari Indonesia yang menerbangkan pesawat menggunakan kipas propeller berbanding pesawat pasukan aerobatik yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, seorang guru dari Taping, Perak, Raja Zarina Raja Ahmad Kamar, 41, berkata, ini kali kedua dia berkunjung ke Langkawi untuk menyaksikan LIMA, namun kali pertama masuk ke dalam kawasan pusat pameran.

“Kali ini saya nak cuba duduk di dalam pula dan saya ada ambil beberapa video aksi pertunjukan untuk ditunjukkan kepada pelajar di sekolah.

“Dalam video itu saya turut kongsikan mengenai prinsip Bernoulli yang menunjukkan keadaan pesawat semasa sedang terbang dan ketinggian yang berubah-ubah,” ujarnya yang mengajar mata pelajaran Fizik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN